Agong – Rukun Negara penyuluh laluan rakyat

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan seluruh rakyat bahawa Rukun Negara bukan sekadar dijulang secara simbolik menerusi bacaan setiap kali menyambut Hari Kebangsaan.

Sebaliknya, titah Seri Paduka, roh dan semangat Rukun Negara hendaklah dihayati dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan seharian.

Seri Paduka bertitah, Rukun Negara menuntut sebuah negara bangsa yang dibentuk atas keteguhan pegangan agama yang kukuh.

“Rakyat pula dituntut untuk mencurahkan taat setia kepada raja yang menjadi payung dan lambang kedaulatan negara.

“Perlembagaan Persekutuan termasuk semua perkara dan hak keistimewaan yang telah disepakati sebelum ini hendaklah dihormati dan dipertahankan,” titah Seri Paduka pada Sambutan Hari Kebangsaan 2020 di Dataran Pahlawan di sini hari ini.

Berangkat sama ke majlis sambutan berkenaan ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang turut hadir Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah serta barisan jemaah menteri yang lain.

Al-Sultan Abdullah mahu keadilan di negara ini juga terikat kepada undang-undang yang wajib dihormati dan dipatuhi oleh setiap rakyat tanpa mengira pangkat serta darjat.

Seri Paduka mengingatkan, Rukun Negara menuntut agar perpaduan rakyat berbilang kaum dibentuk menerusi budaya sopan santun serta hormat menghormati dan disulami pula dengan nilai-nilai yang murni.

“Pada hemat beta, prinsip-prinsip teras Rukun Negara adalah bersifat sejagat yang merentasi nilai-nilai murni semua bangsa dan agama yang berupaya menyuluh laluan rakyat dalam amalan hidup sebagai sebuah negara yang merdeka.

“Oleh yang demikian, prinsip-prinsip tersebut seharusnya menjadi panduan serta amalan oleh semua pihak termasuk pemimpin negara, kerajaan dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” titah baginda.

Dalam semangat menyambut Hari Kebangsaan tahun ini dengan tema Malaysia Prihatin, Al Sultan Abdullah merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan yang sangat prihatin dalam usaha mengukuhkan semula ekonomi dan kewangan negara di samping terus membela kebajikan rakyat sepanjang negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Baginda berkeyakinan bahawa pelbagai program dan inisiatif yang telah dan bakal diambil oleh kerajaan bakal membawa semula negara melayari kejayaan yang diimpikan.

“Beta ingin menyampaikan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah menzahirkan ketahanan dan semangat prihatin yang tinggi.

“Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara, beta ingin mengajak rakyat sekalian untuk menghargai serta menjaga kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi negara.

“Sesungguhnya, keharmonian dan kerukunan hidup dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum adalah merupakan tunjang kepada kekuatan negara,” titah Seri Paduka.

Sumber: Utusan Malaysia

Follow & Subscribe Newsletter


Berkaitan