Mangga harumanis sebenarnya sudah subur di Terengganu sejak 40 tahun lalu.

PERCAYA atau tidak, mangga harumanis sebenarnya sudah subur di Terengganu sejak 40 tahun lalu.

Mungkin ramai yang beranggapan jika berbuah sekalipun, saiz dan rasanya tidak akan mampu mencapai kualiti yang sama sepertimana yang ada di pasaran serta tidak mampu dieksport ke pasaran luar negara.

Jika itu tekaannya, ia sebenarnya meleset sama sekali, kerana buah yang dipetik di kawasan Pusat Pembangunan Komoditi Rhu Tapai, Setiu didapati mencapai gred premium dan tahap kemanisan sehingga 22 peratus brix.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, tanaman yang bermula sejak November 2016 itu diusahakan Jabatan Pertanian Terengganu bagi menyelidik kesesuaian tanah bris (tanah berpasir) di kawasan itu.

“Apabila melihat kejayaan Jabatan Pertanian, saya telah mengarahkan mereka melakukan bancian di beberapa daerah yang mempunyai tanah bris dan akhirnya menemui pokok harumanis yang telah lama ditanam oleh orang kampung.

“Daerah yang selesai dibanci ialah di Marang, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Di setiap daerah itu kita temui kira-kira 100 pokok harumanis yang berusia antara 30 hingga 40 tahun serta berbuah tiga kali setahun,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Dr Azman berkata, oleh kerana masyarakat di Terengganu tidak begitu mahir dalam mengesan kualiti buah itu, akhirnya buah itu gugur dan terbiar begitu sahaja, malah ada yang menganggap ia kategori mangga biasa dan mas itam.

Projek permulaan di kawasan Rhu Tapai melalui proses penjagaan yang teratur hinggalah mampu mengeluarkan hasil pertama tiga tahun lalu dengan kualiti sepertimana ditanam di kawasan utara tanahair.

Ketika ditanya berhubung sasaran kerajaan negeri, beliau berkata, sudah tentunya sehingga buah berkualiti tinggi itu mampu dipasarkan ke luar negara, kerana ia bukan sahaja mempelbagaikan hasil keluaran petani tetapi juga membawa pulangan berlipat ganda.

“Terengganu telah merangka Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019 hingga 2023 dan apa yang berlaku pada ketika ini adalah sebahagian daripada perancangan kerajaan negeri. Pihak jabatan kini turut bersama-sama dengan pelbagai pihak mengumpul mereka yang berminat untuk mengusahakan tanaman harumanis.

“Pertanian ini adalah satu kerjaya, jadi anak muda Terengganu bolehlah tampil untuk mendapatkan kursus yang dianjurkan. Saya tidak mahu ada program bagai ‘tangkap muat’ tetapi biarlah melalui proses awal hingga akhir dengan pemantauan teratur supaya semua pihak dapat melihat hasilnya,” kata beliau.

Menurut Dr Azman, Terengganu mempunyai sekitar 68,000 hektar tanah bris dan masih banyak yang terbiar. Disebabkan itu pihaknya akan berusaha menjejak mereka yang berminat untuk meneruskan hasrat kerajaan dengan memberi bimbangan serta bantuan dari sudut pasaran.

Sementara itu, pegawai pertanian Nurul Ameera Mohammad yang bertanggungjawab menguruskan tanaman harumanis atau nama saintifiknya ‘Mangifera indica Linn’ di Rhu Tapai berkata, pada peringkat awal, beliau juga bagai tidak percaya bahawa pokok di situ mampu berbuah dan mempunyai keharuman serta rasa terbaik.

“Pada peringkat awal, hanya 30 batang pokok ditanam, kini kawasan seluas dua hektar telah ditanam dengan lebih 200 pokok harumanis.

“Berdasarkan rekod tanaman jenis ini, jika dijaga dengan baik ia akan terus mengeluarkan hasil setiap tahun walaupun selepas berusia 20 tahun. Faktor tanaman ini tentunya memerlukan iklim yang panas namun tinjauaan kami juga mendapati pokok mangga jenis ini tumbuh dengan baik di kawasan berpasir dengan cuaca panas sekitar empat hingga lima bulan.

Tambah Nurul Ameera, mangga harumanis itu amat sesuai ditanam di sekitar Terengganu dengan pengeluaran hasil lebih daripada sekali setahun, malah pihaknya kini giat memberi tunjuk ajar kepada orang kampung supaya menjaga pokok sedia ada agar mencapai kualiti terbaik.

Sumber: Bernama

Follow & Subscribe Newsletter


Berkaitan

Advertisements