My #QuranTime: Strategi TV Al-Hijrah Mengqurankan Bangsa & Mengikhlaskan Ummah

Stesen televisyen gaya hidup Islam pertama negara TV AlHijrah melakar sejarah dengan mencatat hampir 1.6 juta tontonan di kaca televisyen sepanjang Ramadan 1441H. Kejayaan ini adalah lebih baik berbanding Ramadan tahun lalu.

Antara penyumbang terbesar kepada peningkatan rating ini adalah menerusi rancangan Malaysia #QuranTime, sebuah program tadabbur Al-Quran yang terhasil saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula.

Malaysia #QuranTime memberi peluang kepada penonton seisi keluarga untuk berinterakasi dengan Al-Quran bersama Ustaz Fazrul Ismail, seorang pentadabbur Al-Quran yang tidak asing lagi di Malaysia.

Rancangan ini cemerlang di dua platform dengan capaian melebihi 1.5 juta tontonan di platform televisyen dan lebih 10 juta tontonan di Facebook Live TV AlHijrah sepanjang disiarkan.

Rentetan daripada kejayaan yang cukup manis ini, TV AlHijrah meneruskan kerjasama erat dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan memikul tanggungjawab dan amanat ummah untuk menyiarkan program My #QuranTime secara Live di Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah.

My #QuranTime adalah versi terkini Malaysia # QuranTime yang telah diperbaiki, diperhalusi dan diperbaharui dengan formula terbaik yang lebih sempurna untuk dipersembahkan kepada penonton.

Menurut Encik Namanzee Harris, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, “Program

My #QuranTime ini sangat dekat di hati dan berbeza dengan rancangan-rancangan sedia ada. Ini kerana selain daripada mengangkat kalam suci Allah sebagai mukjizat teragung yang mendamaikan dan mengembalikan keharmonian global, keistimewaan program ini turut terletak pada keupayaannya menghubung dan menyimpul solidariti ummah”.

“Rancangan ini akan disiarkan bermula 8 Jun 2020, setiap hari jam 12 hingga 1 tengah hari. Ustaz Fazrul Ismail bersama dua qari iaitu Ustaz Ahmad Termizi Haji Ali dan Ustaz Tarmizi Abdul Rahman akan membaca dan mentadabbur Al-Quran bermula dari halaman 1 hingga halaman terakhir iaitu halaman 604.”

“Pembahagian segmen pula telah disusun indah dengan melihat kepada keperluan dan kehendak penonton. Hari Isnin hingga Sabtu tadabbur akan dilaksanakan mengikut halaman Al-Quran manakala pada hari Ahad pentadabbur dan Qari akan memberi imbasan serta ulasan semula tentang apa yang telah dikongsi selama hampir seminggu bersiaran.”

 “Ini merupakan kali pertama kita meneroka dan menerbitkan program yang akan disiarkan berterusan selama hampir tiga tahun di platform televisyen dan FB Live TV AlHijrah. Secara peribadi, saya yakin rancangan ini mampu menjadi pedoman kehidupan buat penonton tidak kira di mana mereka berada.”

“Dalam jangka masa tiga tahun ini, kita turut bercadang untuk menganjurkan acara lapangan khusus bagi mempromosi My #QuranTime. Ini termasuk mengadakan rakaman di agensi-agensi kerajaan, badan-badan korporat dan swasta. Oleh yang demikian, kerjasama dari pihak-pihak korporat yang berminat untuk menaja amatlah dialu-alukan.” jelas Namanzee.

Menurut Namanzee, selaku ‘ibu’ program di TV AlHijrah, konsep My #QuranTime memberi fokus kepada tema kehidupan seperti pembangunan diri, keluarga, komuniti dan global. Menerusi kaedah baca, faham dan amal Al-Quran, misi mengQurankan bangsa dan mengikhlaskan ummah yang dipromosi rancangan ini pastinya dapat dicapai dengan lebih berkesan.

TV AlHijrah menyeru seluruh penonton untuk terus menjadikan stesen ini sebagai ladang ilmu tanpa sempadan. Ini kerana kesemua rancangan terbitan stesen ini memberi penekanan terhadap pembinaan rohani dan sahsiah diri serta meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.

Sumber: Unit Komunikasi Korporat TV AlHijrah


Artikel Terdahulu


Follow & Subscribe Newsletter


Berkaitan