Tanah runtuh: Kerajaan negeri pantau Bukit Antarabangsa

AMPANG: Kerajaan negeri akan sentiasa membuat pemantauan di sekitar kawasan Bukti Antarabangsa di sini bagi mengelakkan bencana besar akibat tanah runtuh.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata beberapa kejadian tanah runtuh dilaporkan pernah berlaku di sekitar kawasan Bukit Antarabangsa sejak 2008 dan yang terbaharu hari ini di Taman Kelab Ukay.

“Kawasan ini semua maklum memang agak fragile (tidak kukuh) namun sebahagian rumah dibuat sejak 1980-an, justeru kerajaan negeri memantau dari semasa ke semasa untuk elak kejadian begini berlaku atau bencana lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi tanah runtuh di Jalan Kelab Ukay 4, Taman Kelab Ukay, hari ini yang menjejaskan tujuh rumah membabitkan kira-kira 40 penghuni.

Media sebelum ini melaporkan pada Disember tahun lalu, sebuah banglo di Jalan Kelab Ukay 2, di sini, diarahkan untuk dirobohkan susulan berlaku pergerakan tanah yang serius.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan membaik pulih Sungai Sering dan anak sungai itu yang tersumbat bagi mengelakkan berlaku banjir.

“Projek itu sedang dijalankan tapi sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita tidak dapat teruskan. Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan membawa hal ini ke Majlis Tindakan Ekonomi Negeri khamis depan,” katanya.

Mengulas mengenai kejadian tanah runtuh hari ini, beliau berkata penduduk yang terjejas dengan kejadian tanah runtuh akan dipindahkan ke Hotel De Palma Ampang selama tujuh hari.

“Kerajaan negeri akan membantu seadanya mangsa yang terjejas dan dianggarkan proses baik pulih akan memakan masa enam bulan, ia satu jangka masa lama dan MPAJ akan melakukannya dengan segera,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamarudin pada sidang media sama menambah, kerajaan negeri mungkin perlu menambah peruntukan menambah baik aliran Sungai Sering dan anak sungai itu yang sebelum ini menerima peruntukan RM100,000.

Beliau turut meminta wakil-wakil penduduk di kawasan ini untuk sentiasa peka dan berwaspada dengan memantau keadaan cerun di kediaman sekitar mereka terutama sekiranya hujan.

Sumber: Berita Harian


Berkaitan

Join 4,736 other subscribers