TV Al-Hijrah Siar 4 Filem Terbaik Dalam & Luar Negara Sepanjang Syawal 1441H

Menjadi kelaziman buat stesen TV AlHijrah untuk menjadi jaguh Ramadan semenjak stesen ini ditubuhkan. Selaku jaguh, TV AlHijrah menggunapakai pelbagai strategi dalam memastikan semua penonton mendapat ilmu bermanfaat menerusi sajian rancangan-rancangan terbaiknya.

Namun begitu, tahun ini TV AlHijrah tampil berbeza apabila perjuangan Ramadan diteruskan hingga Syawal dengan memperbanyakkan juga rancangan-rancangan hiburan dakwah bersesuaian dengan tema sambutan Syawal Menyatu Hati.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Encik Namanzee Harris, “Kebiasaannya, perjuangan TV AlHijrah setelah bertungkus lumus menyediakan rancangan ilmiah Ramadan selesai saat bergemanya takbir Aidilfiti. Namun, pada tahun ini, kita teruskan jihad penyiaran hingga tamatnya Syawal demi memastikan penonton merayakan Aidilfitri bersama keluarga di rumah dengan hiburan berfalsafah dan penuh mesej.” katanya.

“Sudah hampir lima tahun TV AlHijrah tidak menyajikan filem baru buat semua. Oleh yang demikian kami bawakan kelainan sempena Syawal tahun ini dengan menyiarkan empat filem baru tempatan dan antarabangsa. Ini adalah hadiah dan tanda terima kasih buat penonton yang sentiasa menyokong usaha dakwah kami.”

Menurut Namanzee, jalan cerita dan falsafah yang tertanam di sebalik kesemua empat filem ini iaitu filem tempatan tayangan perdana berjudul Geran dan tiga filem Indonesia iaitu filem Malaikat Kecil, filem Iqro My Universe dan filem Kalam Kalam Langit sudah semestinya bersifat mendidik, menghibur, menyatupadukan ummah dan mempunyai nilai-nilai murni universal sebagai tauladan.

Antara program-program istimewa lain yang wajib ditonton adalah rancangan Assalamualaikum, Malaysia QuranTime Istimewa Aidilfitri, Berita AlHijrah Istimewa Aidilfitri dan E-Kaunter Netizen Syamsul Debat.

Jadi jangan lupa untuk terus setia bersama TV AlHijrah dan jadikan stesen gaya hidup Islam ini sebagai saluran utama raya anda.


SINOPSIS FILEM

SYAWAL MENYATU HATI

  1. FILEM GERAN
  2. FILEM MALAIKAT KECIL
  3. FILEM IQRO MY UNIVERSE
  4. FILEM KALAM KALAM LANGIT

FILEM GERAN

Ditayangkan 29 MEI 2020 Jam 9 MALAM

PELAKON: NAMRON, FAIZAL HUSSEIN, AERIL ZAFRIL, KHOHARULLAH MAJID,

FEIYNA TAJUDIN, FAD ANUAR, AZLAN KOMENG, TAIYUDDIN BAKAR, FATIMAH

ABU BAKAR

Filem Geran berkisar sekitar kehidupan dua sahabat baik iaitu Pak Nayan dan Haji Daud yang juga merupakan rakan seperguruan di dalam dunia persilatan. Namun, hubungan akrab milik mereka berdua akhirnya goyah dek satu peristiwa yang tidak disangka-sangka. Bermula detik tersebut, mereka saling bermusuhan dan menyimpan dendam.

Pada masa yang sama, dua anak Pak Nayan iaitu Ali dan Fatimah berasa marah dengan adik mereka iaitu Mat Arip kerana mengeruhkan lagi keadaan dengan mencagarkan geran tanah pusaka milik bapa mereka kepada Haji Daud.

Sebagai bapa, Pak Nayan tetap yakin ada jalan penyelesaian untuk mengubah sikap Mat Arip serta mendapatkan semula geran pusaka tersebut. Namun, konco-konco Haji Daud mula bertindak lebih ganas dengan cuba mengugut serta mencederakan mereka.

Saksikan kesudahan filem Geran untuk mengetahui apa yang terjadi kepada keluarga Pak Nayan dan Haji Daud.

FILEM MALAIKAT KECIL

Akan ditayangkan 30 MEI 2020 Jam 9 MALAM

PELAKON: DWI SASONO, TIKA BRAVANI, RACHEL PATRICIA, DHELON F ALBERS, COK SIMBARA, NELLA REGAR, DINA MARIANA, MUDJI MASSAID

Budi, seorang autism datang ke Jakarta untuk mengubah kehidupan keluarganya. Sebagai seorang ayah yang amat mengasihi anak-anaknya iaitu Ratih dan Iyan, Budi telah berjanji untuk membelikan baju baru kepada keduanya andai mereka mampu berpuasa penuh di bulan Ramadan.

Budi sanggup berjauhan dengan isteri dan anak-anaknya demi mencari rezeki yang halal. Pada suatu hari, Budi mendapat perkabaran bahawa anaknya sedang sakit dan dirawat di hospital.

Budi mengambil keputusan untuk pulang menziarahi anak kesayangannya. Malang menimpa apabila isteri dan anaknya sudah tidak lagi menetap di kediaman mereka. Budi terus mencari keluarganya yang hilang.

Dalam kesedihan Budi hanya mampu pasrah dan menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Kuasa. Usai melaksanakan solat Aidilfitri, Budi dipeluk erat dari belakang.

FILEM IQRO MY UNIVERSE

Akan ditayangkan 6 JUN 2020 Jam 9 MALAM

PELAKON: AISYAH NURRA DATAU, RAIHAN KHAN, COK SIMBARA, NENO WARISMAN, ADITYA PUTRI

Aqila adalah seorang kanak-kanak yang sangat gemar menuntut ilmu tetapi tidak berminat untuk belajar Al-Quran. Aqila mempunyai datuk yang bekerja sebagai ahli astronomi dan tinggal di Pusat Pemantauan Bintang Boscha.

Aqila berhasrat untuk menjadikan seorang ahli astronomi dan menjadikan topik tersebut sebagai salah satu tugasan di sekolah. Datuknya memberi izin kepada Aqila untuk menggunakan teropong bintang di Boscha untuk menyelesaikan tugasnya, tetapi dengan meletakkan syarat bahawa Aqila perlu pandai membaca Al-Quran.

Aqila bersetuju dan ketika di rumah datuknya Aqila bertemu Ros, anak seorang pembantu rumah. Ros mengajaknya bermain di masjid. Di masjid ini Aqila belajar membaca Al-Quran dengan kaedah Iqro, yang menyenangkan, berirama dan dilakukan dengan ringan. Pengalaman Aqila mempelajari Al-Quran dan teladan datuknya telah menggerakkan mata hatinya, mengenai kebesaran Allah SWT yang menciptakan alam semesta.

FILEM KALAM KALAM LANGIT

Akan ditanyangkan 13 JUN 2020 Jam 9 MALAM

PELAKON: DIMAS SETO, ELYZIA MULACHELA, MERIZA FEBRIANI, MATHIAS MUCHUS

Kalam Kalam Langit adalah kisah seorang pemuda bernama Ja’far yang sedari kecil mendapat didikan agama yang cukup baik dari kedua orang tuanya. Kebijaksanaan Ja’far melayakkan dia untuk melanjutkan pegajian di sebuah sekolah pondok terbaik di Indonesia.

Tempat pengajian Ja’far kerap mengadakan pertandingan Tilawah Al-Quran. Ja’far bercita-cita untuk menjadi juara Majlis Tilawah Al-Quran tersebut. Namun, keinginannya itu ditentang oleh ayahnya yang selalu mengingatkan agar tidak memperjual belikan kalam kalam Illahi hanya kerana populariti dan hadiah semata mata.

Perbalahan dua beranak itu berterusan hingga ayah Ja’far jatuh sakit dan meninggal dunia. Sedih dan membawa hati yang luka, Ja’far pulang ke kampung ibunya di Lombok. Takdir menyaksikan Ja’far dipilih mewakili Lombok dalam pertandingan Tilawah Al-Quran namun dia berterusan diuji.


Berkaitan

Join 4,696 other subscribers