TV Al Hijrah Sambut Aidilfitri Dengan Kempen Syawal Menyatu Hati

Serangan wabak Covid-19 memaksa seluruh penduduk dunia mengubah rutin kehidupan yang sudah semestinya jauh lari dari kelaziman dan kebiasaan harian.

Perubahan yang drastik ini menuntut seluruh manusia untuk akur dan bergerak seiring dan senada mengikut norma baharu dalam semua ruang lingkup kehidupan termasuk aspek sosio-ekonomi, budaya, emosi dan spiritual.

Kelaziman baharu ini turut merubah industri penyiaran negara dan menuntut pemain industri untuk tampil kreatif dalam berkarya dan menghiburkan penonton tanah air.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Encik Namanzee Harris, “TV AlHijrah berpeluang merancang dua kempen besar sepanjang tempoh PKP dan PKPB dilaksanakan iaitu Kempen Ramadan dan terkini Kempen Aidilfiti.

“Kelaziman baharu dek wabak Covid-19 ini menuntut penglibatan inklusif seluruh warga kerja stesen ini untuk tampil kreatif berganda dalam memastikan dakwah dan hiburan tidak keterlaluan terus disajikan tanpa henti buat penonton.”

“Kami bereksperimen dengan pelbagai strategi baharu dalam memastikan penonton kekal setia di stesen TV AlHijrah. Sebagai contoh, kami perkemaskan platform digital yang tidak memerlukan banyak tenaga kerja dalam menghasilkan sesuatu rancangan namun memberikan impak yang sangat tinggi dan memberangsangkan.”

“Lihat sahaja kejayaan program Jom Ngaji dan E-Kaunter Netizen bersama Syamsul Debat. Ini adalah bukti bahawa penonton sudah mula mengadaptasi kepada norma penyiaran baharu.” jelas Namanzee.

TV AlHijrah memilih tema Syawal Menyatu Hati sebagai asas kepada sambutan perayaan Aidilfitri 1441H tahun ini.

“Benar, pada saat ini, kita semua khuatir, risau, gusar dan takut dengan wabak Covid -19. Tetapi Aidilfitri masih perlu terus diraikan.”

Lihat kembali kepada falsafah sambutan Aidilfitri di dalam Islam. Sekiranya diamati, pensyariatan perayaan aidilftri ini berlaku selepas pelaksanaan ibadah yang besar dalam Rukun Islam iaitu ibadah puasa.”

“Maka, tidak keterlaluan jika kita katakan tradisi sambutan perayaan Aidilfitri ini mempunyai matlamat dan falsafah yang amat tinggi dan mulia. Cuma kita harus pastikan sambutannya pada tahun ini dalam keadaan besederhana, berwaspada serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan pihak kerajaan.”

“Kami di TV AlHijrah berusaha sehabis baik untuk menyajikan rancangan-rancangan yang mampu menyatu hati penonton semua dalam meningkatkan keimanan sekaligus memberi nilai tambah dalam kehidupan”. ujar Namanzee.

‘SYAWAL MENYATU HATI’ #syawaltvalhijrah #syawalmenyatuhati #jomtontontvalhijrah #programterbaiksyawal #tvalhijrah #tvkitauntuksemua

Posted by TVAlhijrah on Friday, 22 May 2020

25 jam diperuntukkan khusus untuk kesemua rancangan Aidilfitri di platform televisyen dan platform online. Ini melibatkan program-program genre dewasa, wanita dan remaja. Bukan itu sahaja, Ramadan tahun ini turut memperlihatkan kerjasama erat di antara TV AlHijrah dan rakan penyiar lain dalam dan luar negara.

Untuk menghilangkan rasa rindu berjemaah di masjid melaksanakan solat hari raya, TV AlHijrah akan bawakan khas rancangan Assalamualaikum Solat Raya Live yang akan disiarkan serentak di Astro Oasis dan Astro Naura.

“Menerusi Assalamualaikum Solat Raya Live penonton bukan sahaja boleh menyaksikan solat hari raya Aidilfitri yang dilaksanakan di Studio Digital TV AlHijrah, malahan para penonton juga berpeluang untuk mendengar Khutbah Raya yang akan disampaikan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.”

“Selain itu, kami juga siarkan 4 filem istimewa terbitan produksi dalam dan luar negara khas buat semua. Peminat seni bela diri silat wajib untuk menonton filem tayangan perdana berjudul Geran terbitan Layar Pictures Sdn. Bhd. Selain berkisar tentang dunia persilatan, filem Geran turut mengajar penonton erti persahabatan, kasih sayang dan kemaafan.”

Kami bawakan juga Bioskop Hijrah iaitu barisan filem Indonesia seperti Filem Malaikat Kecil, Filem Iqro My Universe dan Filem Kalam Kalam Langit. Kesemua filem ini memiliki DNA penyiaran TV AlHjrah iaitu mempromosi gaya hidup Islam dan nilai-nilai murni universal.” jelas Namanzee lagi.

Antara program-program istimewa lain yang wajib ditonton adalah rancangan Munajat, Malaysia QuranTime Istimewa Aidilfitri, Berita AlHijrah Istimewa Aidilfitri, Belaian Kasih Istimewa Aidilfitri, Kembara Suci Jejak Bumi Anbiya Istimewa, Tausiyah Ustazah Asma Istimewa Aidilfitri dan E-Kaunter Netizen Syamsul Debat.

Di samping program-program Ramadan ini, TV AlHijrah juga sedang menyusun dan merangka strategi bagi kempen musim haji yang akan datang. Kerjasama dari pihak-pihak korporat yang berminat untuk menaja pada kempen musim haji hadapan amatlah dialu-alukan.

Jadi jangan lupa untuk terus setia bersama TV AlHijrah dan jadikan stesen gaya hidup Islam ini sebagai saluran utama raya anda.

Info Lanjut:

Layari : https://www.tvalhijrah.com/

Al-Hijrah Live Streaming : https://alhijrahmedia.com/tv-alhijrah-live-streaming/

Facebook: https://www.facebook.com/tvalhijrah114/


Berkaitan