Orang awam tak dibenarkan solat Aidilfitri di masjid, surau – Selangor

Photo by Burak K on Pexels.com

SHAH ALAM – Orang awam di Selangor tidak dibenarkan menunaikan solat sunat Aidilfitri di semua masjid dan surau di negeri ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, hanya imam, bilal dan siak yang dijadualkan bertugas boleh menunaikan solat sunat itu di masjid dan surau di Selangor.

Info grafik mengenai pelaksanaan solat sunat Aidilfitri yang dikongsikan JAIS di Facebook rasminya.

Bagaimanapun, menurutnya, ahli kariah hendaklah menunaikan solat sunat Aidilfitri di kediaman masing-masing bersama keluarga.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa, umat Islam di Selangor tidak dibenarkan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau di negeri ini.

“Mereka digalakkan untuk melaungkan takbir malam hari raya di kediaman masing-masing bersama keluarga selepas solat Isyak yang boleh diikuti melalui pembesar suara masjid dan surau,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Sinar Harian.Info grafik mengenai pelaksanaan solat sunat Aidilfitri yang dikongsikan JAIS di Facebook rasminya.

Mohd Shahzihan berkata, siaran takbir hari raya dan pelaksanaan solat sunat Aidilfitri boleh diikuti melalui Live Facebook Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Beliau sebelum itu memaklumkan umat Islam di Selangor tidak dibenarkan menziarahi makam diraja dan tanah perkuburan sepanjang sambutan Aidilfitri khususnya sebelum atau selepas solat sunat hari raya.

Menurutnya, ketetapan itu diambil selaras dengan pelaksanaan PKPB bagi mengelak penularan wabak koronavirus (Covid-19).

“Mereka yang ingin menziarahi kubur dalam tempoh ini bolehlah menggantikannya dengan amalan bacaan tahlil, zikir dan doa di kediaman masing-masing untuk menghadiahkan pahala kepada arwah kerabat serta kaum keluarga yang telah kembali ke rahmatullah,” katanya.

Beliau berkata, pihak yang menguruskan makan diraja dan tanah perkuburan di Selangor juga diminta membantu JAIS memastikan ketetapan itu dipatuhi oleh semua lapisan masyarakat.

Katanya, tempoh ketetapan itu berkuat kuasa adalah tertakluk kepada suatu kenyataan lain yang akan dikeluarkan jabatan tersebut.

Sumber: Sinar Harian


Berkaitan