Larang ziarah kubur pada Aidilfitri – Perlis

KANGAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) melarang umat Islam melakukan ziarah kubur di tanah perkuburan Islam pada pagi Aidilfitri tahun ini dalam usaha mengekang penyebaran wabak COVID-19.

Pengarah JAIPs, Dr Hazman Hassan berkata langkah itu diambil bertepatan dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang dikeluarkan pada 2018 yang membincangkan mengenai amalan ziarah kubur secara terperinci.

Katanya, pihaknya akan meminta setiap jawatankuasa kariah masjid di negeri ini menutup semua pintu pagar tanah perkuburan Islam di Perlis sehingga sambutan Aidilfitri tamat.

“Pintu pagar akan ditutup untuk mengelak kekeliruan dan bagi tanah perkuburan Islam yang tidak memiliki pagar yang sempurna, kita akan meminta satu sekatan sementara didirikan sehingga berakhirnya sambutan

“Malah semua pintu pagar dan sekatan sementara bagi tanah perkuburan Islam di dalam kariah akan digantung dengan salinan surat yang akan dikeluarkan oleh JAIPs dalam tempoh terdekat,” katanya menerusi satu kenyataan malam ini.

Hazman berkata, bagi pelaksanaan takbir Aidilfitri di masjid, jawatankuasa yang terpilih dibenarkan untuk bertakbir menurut panduan yang sudah disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.

“Apabila masuk 1 Syawal, takbir Aidilfitri mesti dilaksanakan dengan bergilir-gilir dan tidak melebihi tiga orang pada suatu masa selain perlu memastikan penjarakan sosial terjaga serta melakukan proses nyah kuman peralatan berkaitan dari semasa ke semasa.

“Pada pagi 1 Syawal pula, takbir Aidilfitri boleh dilaksanakan selepas solat Subuh dan berhenti selewat-lewatnya jam 9 pagi, kemudian jawatankuasa kariah bertugas mesti pulang ke rumah masing-masing untuk melaksanakan solat Aidilfitri bersama keluarga mereka,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan berkenaan, Hazman berkata, perkara terbabit bukanlah sesuatu yang baharu di Perlis memandangkan fatwa di negeri ini tidak menggalakkan orang ramai menziarahi kubur pada Aidilfitri.

“Mengikut perincian fatwa berkenaan jelas menyatakan bahawa umat Islam disunatkan menziarahi kubur pada bila-bila masa tanpa mengkhususkan waktu dan hari tertentu sama ada Aidilfitri.

“Perbuatan sesetengah pihak mengkhususkan ziarah kubur pada pagi Aidilfitri disalah anggap seakan ia amalan agama yang dituntut dan kita bimbang ia menyalahi tujuan asal berhari raya di dalam Islam iaitu sebagai hari untuk bergembira,” katanya.

Sumber: Berita Harian


Berkaitan