160 kali khatam Quran – Banduan

Photo by Tayeb MEZAHDIA on Pexels.com

MARANG: “Sejak 20 tahun menjalani hukuman penjara, saya sudah berjaya khatam al-Quran lebih 160 kali,” kata Awie, 49, (bukan nama sebenar) ketika ditemui di Penjara Marang, hari ini.

Anak kelahiran Hulu Terengganu itu menjalani hukuman penjara sepanjang hayat di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan Al-Ma’unah pada 2000.

Awie berkata, dia menyertai Pertubuhan Seni Ilmu Dalam Al-Ma’unah pada Disember 1999.

Niatnya menyertai pertubuhan itu kerana ingin mempelajari ilmu mempertahankan diri dan perubatan Islam sahaja, tetapi tidak menyangka ia boleh membawa kepada kegiatan keganasan.

Tambahnya, dia dan beberapa rakan lain dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat.

“Bagaimanapun saya reda dengan ketentuan Tuhan dan mengambilnya secara positif dan penuh hikmah.

“Pada mulanya tertekan juga sehingga boleh menjadi gila cuma bernasib baik kerana masih mengamal agama, solat dan membaca al-Quran.

“Amalan agama sahaja yang boleh membuatkan hati saya tenang dan menerima segala takdir yang ditetapkan Allah dengan hati yang terbuka,” katanya.

Selama 20 tahun dia terpaksa beraya di penjara dan berkemungkinan beraya di penjara sepanjang hayat sekiranya tidak mendapat perkenan pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

“Ibu sudah meninggal pada 2017 dan saya hanya mempunyai adik beradik di kampung.

“Bagaimanapun, saya teringin untuk bebas dan menikmati hari-hari tua di kampung di samping ahli keluarga yang masih ada.

“Di penjara saya hanya menghabiskan masa dengan menjalani aktiviti mengukir kayu dan beribadat,” katanya yang khatam al-Quran sebanyak tiga kali sepanjang Ramadan tahun ini.

Bercerita mengenai harapan, katanya, dia berharap agar Yang di-Pertuan Agong dan majlis pengampunan memberi perkenan pengampunan kepadanya.

“Saya sudah menjalani hukuman penjara yang lama dan banyak pengajaran yang diperoleh dalam tempoh itu.

“Sekarang sudah berusia 49 tahun dan jika dibebaskan masih sempat untuk membina kehidupan sendiri termasuk berumah tangga,” katanya.

Follow & Subscribe Newsletter


Berkaitan

Sumber: Berita Harian