Kerajaan Persekutuan sah

KUALA LUMPUR, 18 Mei -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA KUALA LUMPUR, May 18 -- The Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah arrives at the Parliament Building to officiate the Third Session of the 14th Parliament today. --fotoBERNAMA (2020) COPYRIGHTS RESERVED

KUALA LUMPUR: Pembentukan kerajaan Persekutuan baharu selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan sah pada sisi undang-undang negara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, penubuhan kerajaan Perikatan Nasional berdasarkan lunas undang-undang itu dijelaskan dalam titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Beliau berkata, titah perasmian di Dewan Rakyat itu banyak menjawab persoalan dibangkitkan rakyat, terutama dalam media sosial.

“Dengan penuh jelas dan hikmah, baginda menyeru pemimpin dan ahli politik untuk tidak mengheret negara ke kancah politik tidak menentu, terutamanya apabila dunia sedang berhadapan ancaman COVID-19.

“Kita perlu faham pembentukan kerajaan di Malaysia tidak bergantung kepada mana-mana parti politik. Seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, pihak mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat, akan berupaya membentuk kerajaan.

“Penjelasan ini haruslah disambut baik oleh semua rakyat kerana demokrasi terbaik sistem Raja Berperlembagaan diamalkan di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli dan menyampaikan titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14, di sini.

Baginda bertitah, ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan dan caci mencaci, sebaliknya menjadikannya untuk membangun dan menyatupadukan negara.

“Berpegang pada prinsip keadilan, membudayakan politik yang bersih, tidak menyentuh sensitiviti agama dan bangsa mahupun kedaulatan serta kedudukan raja-raja Melayu,” titah baginda.

Sumber: Berita Harian


Berkaitan