Menteri Besar Kedah – Gaya pentadbiran mirip Ustaz Azizan

ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mengakui gaya pentadbirannya bakal mirip pentadbiran Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, namun masih terdapat perbezaan mengikut situasi semasa.

Sanusi berkata, pendekatan berbeza itu dilakukan berikutan kerajaan negeri kali ini tidak dianggotai DAP berbeza ketika era kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) di bawah Azizan.

“Dahulu PAS bersama DAP dalam PR, tetapi sekarang PAS bersama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Perikatan Nasional (PN).

“Jadi kita perlu ada sedikit pendekatan berbeza walaupun saya ini adalah anak didik Allahyarham Ustaz Azizan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sanusi turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta barisan anggota kerajaan terdahulu atas khidmat bakti mereka sebelum ini.

“Kerajaan baharu ini akan menjalankan pemerintahan secara berhemah, adil dan saksama kepada semua pihak, tidak akan berlaku penganiayaan atau ketidakadilan terhadap mana-mana pihak termasuk kakitangan kerajaan lantikan politik oleh kerajaan terdahulu.

“Pembangkang juga diharap terus menunjukkan kerjasama dan teladan yang baik serta konstruktif dalam pentadbiran demi kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.

Ketika ditanya adakah kerajaan pimpinannya akan melaksana manifesto PAS ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, Sanusi berkata beliau akan melihat dahulu kesesuaian manifesto berkenaan.

Sumber: Berita Harian


Berkaitan