Banjir Kilat di Perak – 24 mangsa dipindah

Photo by Harrison Haines on Pexels.com

MUALLIM: Banjir kilat melanda dua lokasi di Taman Yan Ming dan Taman Seroja, di sini petang tadi, memaksa 24 penduduk dipindahkan termasuk 15 warga Indonesia.

Kejadian berlaku disebabkan hujan lebat bermula jam 5.30 petang, sekali gus mengganggu persiapan penduduk untuk berbuka puasa.

Di Taman Yan Ming, banjir kilat sehingga 0.5 meter bermula jam 6 petang menyebabkan sembilan mangsa dipindahkan ke Dewan Tan Sri Ghazali.

Di Taman Seroja pula, 15 penghuni warga Indonesia terjejas dipindahkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Seorang mangsa, Rosnah Bidin, 76, berkata ketika kejadian dia sedang menyiapkan juadah berbuka, sebelum menyedari air mula memasuki rumah.

“Ingatkan air daripada mesin basuh melimpah menyebabkan makcik hanya mengelapnya dengan kain sahaja. Namun selepas air bertambah banyak, makcik lari ke depan rumah kerana takut melihat paras air semakin meningkat.

“Banjir kilat mungkin berpunca daripada longkang belakang rumah yang tidak mampu menampung jumlah air hujan yang banyak, sekali gus melimpah dan memasuki rumah,” katanya.

Penduduk Taman Seroja, S Anathan, 69, berkata kejadian petang tadi pertama kali berlaku sepanjang 30 tahun dia menetap di situ, dipercayai berpunca limpahan air sungai di seberang jalan rumahnya.

“Air memasuki rumah sehingga paras pinggang dan arusnya juga deras menyebabkan saya sekeluarga hanya mampu menyelamatkan diri. Malah kereta milik jiran yang diparkir di tepi jalan turut dibawa arus,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian banjir kilat di Taman Yan Ming pada jam 6.36 petang, sebelum sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi.

Untuk Taman Seroja pula, anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dibantu BBP Tanjung Malim dikerahkan susulan panggilan mengenai kejadian sama yang diterima jam 6.52 petang.

Sumber: Berita Harian


Berkaitan