Pelan Bayaran Mudah akan dilaksanakan secara automatik bagi semua pelanggan kediaman – TNB

Tenaga Nasional Bhd (TNB) memperkenalkan pakej bantuan yang merangkumi Pelan Bayaran Mudah (PBM), penangguhan surcaj lewat bayar dan lanjutan penangguhan pemotongan bekalan kepada 7.5 juta pelanggan kediaman.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata disebabkan pembacaan meter turut ditangguhkan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat sedar kebimbangan pelanggan kediaman mengenai kenaikan bil apabila pembacaan meter sebenar dilakukan.

“PBM akan dilaksanakan secara automatik bagi semua pelanggan kediaman bermula daripada bil bulanan sebenar pertama yang diterima selepas TNB menyambung semula operasi pembacaan meter pada 15 Mei 2020.

“Seperti yang sedia maklum, TNB menangguhkan sementara pembacaan meter fizikal dan penyerahan bil di premis pengguna semasa PKP.

“Justeru, pengebilan dilakukan mengikut bil anggaran berdasarkan jumlah bil sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Bil anggaran boleh didapati menerusi saluran digital TNB seperti portal dan aplikasi myTNB serta perbankan Internet sekiranya bil TNB didaftar sebagai pembayar.

Operasi pembacaan meter dan penyerahan bil akan kembali dilakukan bermula 15 Mei 2020 di negeri zon hijau iaitu Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak (kecuali Sri Manjung) dan Kelantan.

Pelanggan akan beransur-ansur menerima bil sebenar yang diselaraskan mengikut bil anggaran lalu bagi mendapatkan penggunaan sebenar mereka.

“Apabila pelanggan menerima bil bulanan sebenar pertama, mereka mempunyai pilihan untuk membuat pembayaran penuh atau mengikut jumlah PBM. Maklumat pembayaran akan dipaparkan di dalam kotak berwarna kuning pada sudut kanan bahagian atas bil yang diterima.

“Pakej itu adalah sebagai tambahan kepada diskaun berperingkat berjumlah dua hingga 50 peratus yang ditawarkan kepada pelanggan bagi penggunaan elektrik dari 1 April 2020 hingga 30 September 2020,” katanya.

Amir Hamzah berkata, ia adalah satu daripada usaha TNB untuk meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Sumber: Berita Harian


Berkaitan