Keluarga Bahagia

Bagaimana Memohon Skim Peduli Kesihatan Peka B40 ? Apakah Syarat – Syaratnya ?

” Sila baca sampai habis “

Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) adalah satu inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).

PeKa B40 ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40% terendah, yang dikenali sebagai kumpulan B40.

Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangan mereka, yang berumur 50 tahun dan ke atas, secara automatik layak menyertai PeKa B40. Tiada pendaftaran khusus diperlukan untuk menyertai PeKa B40.

PeKa B40 diwujudkan atas fakta-fakta berikut:


Beban Penyakit Tidak Berjangkit
47.6% kumpulan B40 berumur 50 tahun dan ke atas menghidapi sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit yang belum didiagnosis.


Kesihatan Mental
3 daripada 10 orang dewasa menderita masalah kesihatan mental. Kumpulan B40 mencatat kadar yang lebih tinggi, iaitu 32% berbanding 28% bagi kumpulan bukan B40.


Beban Kanser
Kes kanser semakin meningkat. Lebih membimbangkan lagi apabila 60% dikesan pada peringkat lewat, di mana peluang untuk sembuh adalah lebih rendah.


Rawatan Kanser
Ramai pesakit tidak melengkapkan rawatan kanser dan hanya kembali semula ke hospital apabila sudah tenat. Ini menipiskan peluang sembuh dan meningkatkan kos rawatan.


Kos Alat Perubatan
Walaupun rawatan di Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi subsidi yang tinggi daripada Kerajaan, sebahagian kos alat perubatan masih perlu ditanggung oleh pesakit seperti kos untuk perentak jantung, implan untuk tulang belakang, dan sebagainya. Ini menambah beban kewangan kepada mereka yang kurang berkemampuan.


Masalah Pengangkutan

Ramai pesakit yang kurang berkemampuan, terutamanya di kawasan pedalaman, tidak meneruskan rawatan akibat kekangan kewangan untuk membayar tambang pengangkutan.


Sumber

1 & 2 – Analisis data Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015

3 – Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2007-2011

4 – Maklumat Pakar Perubatan Kanser dari Institut Kanser Negara

5 & 6 – Maklumat Bengkel Tabung Bantuan Perubatan


Konsep PeKa B40

  • RM100 juta diperuntukkan melalui Belanjawan 2019 untuk PeKa B40.
  • Bermula sebagai projek perintis dan dianggarkan dapat menampung 800,000 penerima sebagai permulaan.
  • Ianya adalah percuma kepada penerima PeKa B40.
  • Ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40% terendah, yang dikenali sebagai kumpulan B40. Kelayakan menyertai PeKa B40 adalah berdasarkan kriteria berikut:
    • Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar.
    • Berumur 50 tahun dan ke atas.
  • Penyertaan adalah secara automatik dan tiada pendaftaran diperlukan.

Manfaat B40

Manfaat 1: Saringan Kesihatan

  • Penerima perlu menjalani Saringan Kesihatan (Manfaat 1) untuk layak mendapatkan manfaat Bantuan Alat Perubatan (Manfaat 2), Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser (Manfaat 3), dan Insentif Tambang Pengangkutan (Manfaat 4).
  • Saringan kesihatan boleh dilakukan oleh doktor di mana-mana klinik swasta yang berdaftar dengan PeKa B40.
  • Saringan kesihatan merangkumi:
    • pengambilan sejarah kesihatan dan penyakit individu dan keluarga termasuk faktor risiko kesihatan
    • saringan kesihatan mental
    • pemeriksaan fizikal
    • pemeriksaan klinikal payudara untuk penerima wanita, dan pemeriksaan klinikal prostat untuk penerima lelaki yang berisiko
    • ujian darah dan ujian air kencing
  • Spesimen darah dan air kencing akan diambil dan dihantar ke makmal untuk ujian sel darah, ujian kawalan gula darah, ujian paras kolesterol, ujian fungsi buah pinggang dan ujian air kencing.
  • Penerima manfaat tidak perlu berpuasa untuk menjalani ujian-ujian tersebut.
  • Penerima manfaat tidak dikenakan apa-apa bayaran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian makmal dalam pakej PeKa B40 ini.
  • Sekiranya penerima memerlukan rawatan, boleh dirujuk kepada Klinik Kesihatan atau jika penerima sendiri bersetuju untuk dirawat oleh Klinik Swasta, penerima PeKa B40 perlu membayar kos rawatan itu sendiri. Buat masa ini, skim PeKa B40 belum termasuk sebarang kos rawatan atau ubat.

Manfaat 2: Bantuan Alat Perubatan

  • Manfaat ini melibatkan bantuan peralatan perubatan yang diperlukan dalam prosedur/ rawatan dan tidak diberikan subsidi kos alat di hospital-hospital KKM.
  • Had maksimum seumur hidup sebanyak RM20,000 diberikan dalam bentuk alat perubatan yang dibelikan.
  • Manfaat 2 ini merangkumi alat-alat perubatan di dalam kategori berikut:
    • Stent untuk jantung
    • Alat sendi tiruan
    • Alat bantuan pendengaran
    • Perentak jantung
    • Prostesis dan implan untuk tulang belakang
    • Prostesis dan ortosis tulang anggota
    • Kanta mata intraokular
    • Alat terapi pernafasan dan oxygen concentrator
    • Bantuan sokongan nutrisi
    • Kerusi roda
  • Saringan Kesihatan (Manfaat 1) perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum penerima PeKa B40 boleh menikmati manfaat ini.
  • Manfaat ini hanya terpakai apabila penerima PeKa B40 dirawat di hospital KKM sahaja, di mana permohonan perlu dilakukan oleh pakar-pakar perubatan KKM bagi pihak pesakit yang penerima PeKa B40.

Manfaat 3: Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser

  • Manfaat 3 ini adalah bertujuan untuk mendorong pesakit kanser, lebih-lebih lagi mereka yang di peringkat awal rawatan dan tahap permulaan penyakit, untuk melengkapkan pelan rawatan mereka seperti mana yang telah dirancang oleh pakar kanser KKM.
  • RM1,000 dibayar kepada pesakit kanser yang melengkapkan rawatan di Hospital KKM.
  • Saringan Kesihatan (Manfaat 1) perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum penerima PeKa B40 boleh menikmati manfaat ini.
  • Insentif dipecahkan kepada dua (2) kali bayaran bergantung kepada peringkat rawatan.
  • Pembayaran insentif adalah secara terus kepada penerima PeKa B40 yang layak melalui akaun bank yang telah pun didaftarkan.
  • Permohonan dan perakuan kelayakan Manfaat 3 perlu dilakukan oleh doktor atau pakar perubatan KKM bagi pihak pesakit yang penerima PeKa B40.

Manfaat 4: Insentif Tambang Pengangkutan

  • Manfaat ini bertujuan untuk meringankan beban membayar kos pengangkutan apabila penerima mendapatkan rawatan di hospital KKM. Ianya tidak bertujuan untuk merangkumi keseluruhan kos perjalanan.
  • Penerima Manfaat 2 (Bantuan Alat Perubatan) atau/ dan Manfaat 3 (Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser) sahaja akan mendapat manfaat tambang pengangkutan ini.
  • Had maksimum bantuan yang boleh diterima:
    • RM500 untuk Semenanjung Malaysia
    • RM1,000 untuk Sabah/ Sarawak/ Labuan
  • Jumlah insentif tambang yang akan diberikan adalah tertakluk kepada jarak antara hospital dan rumah penerima dan pada kadar yang telah ditetapkan.
  • Permohonan dan perakuan kelayakan Manfaat 4 perlu dibuat oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan atau pegawai perubatan yang merawat.
  • Pembayaran insentif adalah secara terus kepada penerima melalui akaun bank yang telah pun didaftarkan.

Semakan Kelayakan

Kriteria Kelayakan

Penyertaan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) adalah secara automatik berdasarkan kriteria yang ditetapkan iaitu penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar, berumur 50 tahun dan ke atas. Tiada pendaftaran diperlukan untuk menyertai PeKa B40.


Makluman

Proses Mendapatkan Manfaat PeKa B40

  • Langkah 1: Semak kelayakan di sini.
  • Langkah 2: Jika layak, lawati klinik PeKa B40 berdekatan yang dikenalpasti melalui pelekat logo PeKa B40 dengan membawa MyKad. Senarai klinik juga boleh didapati di sini.
  • Langkah 3: Pemeriksaan kesihatan akan dilakukan semasa lawatan pertama di klinik.
  • Langkah 4: Lawatan kali kedua untuk mengetahui keputusan makmal daripada doktor dan juga tindakan susulan samada rujukan ke Fasiliti KKM atau Program Sihat Cergas KKM.

Proses Saringan Kesihatan


Soalan Lazim

Maklumat Umum

  1. Apakah PeKa B40?
    • Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) adalah satu inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).
    • PeKa B40 ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40% terendah, yang dikenali sebagai kumpulan B40.
    • Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangan mereka, yang berumur 50 tahun dan ke atas, secara automatik layak menyertai PeKa B40. Tiada pendaftaran khusus diperlukan untuk menyertai PeKa B40.
  2. Mengapakah PeKa B40 diwujudkan?
    • Sila rujuk di sini.
  3. Apakah objektif PeKa B40?
    • PeKa B40 bertujuan untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. Inisiatif ini memberi penekanan kepada penyakit tidak berjangkit dan memberi tumpuan kepada jalinan kerjasama sektor awam dan swasta, lebih-lebih lagi di peringkat penjagaan kesihatan primer.
  4. Apakah manfaat PeKa B40?
    • Saringan Kesihatan
    • Bantuan Alat Perubatan
    • Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser
    • Insentif Tambang Pengangkutan
  5. Siapakah yang layak menyertai PeKa B40?
    • Ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berada dalam lingkungan pendapatan isi rumah 40% terendah, yang dikenali sebagai kumpulan B40. Kelayakan menyertai PeKa B40 adalah berdasarkan kriteria berikut:
      • Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar.
      • Berumur 50 tahun dan ke atas.
  6. Bagaimana penerima dapat mengetahui kelayakan mereka untuk menyertai PeKa B40?
    • Penerima BSH dan pasangannya yang berumur 50 tahun dan ke atas boleh menyemak kelayakan di sini dengan hanya memasukkan nombor MyKad dan kombinasi maklumat lain.
  7. Adakah penerima PeKa B40 dikenakan sebarang bayaran?
    • Tidak. Tiada sebarang bayaran akan dikenakan. Semua manfaat PeKa B40 diberikan secara percuma.
  8. Mengapa PeKa B40 hanya melibatkan kumpulan B40 yang berumur 50 tahun dan ke atas sahaja?
    • PeKa B40 bermula sebagai projek perintis dan dilaksanakan secara berperingkat.
    • Lebih ramai kumpulan B40 menghidapi penyakit tidak berjangkit berbanding kumpulan lain (M40 & T20).
    • Peringkat umur 50 tahun ke atas juga mempunyai beban penyakit NCD yang lebih tinggi, dan belum dikesan atau tahap penyakit tidak dikawal dengan baik.
    • Ia akan diperluaskan kepada kumpulan yang lain bergantung kepada keberkesanan program ini dan peruntukan kewangan dari Kerajaan.
  9. Apakah syarat untuk menerima Manfaat 2, 3 dan 4?
    • Pesakit mestilah penerima BSH atau pasangannya dan berumur 50 tahun dan ke atas;
    • Telah melakukan Saringan Kesihatan (Manfaat 1); dan
    • Permohonan mestilah dilakukan melalui hospital Kementerian Kesihatan Malaysia sahaja.
    • Untuk maklumat lanjut, sila rujuk kepada seksyen Manfaat di sini.
  10. Siapa pentadbir skim PeKa B40?
    • ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth), yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). akan mentadbir skim ini.
    • Sebagai sebuah syarikat yang tidak berasaskan keuntungan, ProtectHealth menyelaras, mentadbir dan menguruskan inisiatif yang berkaitan dengan pembiayaan perkhidmatan penjagaan kesihatan sepertimana diamanahkan oleh KKM.
    • ProtectHealth sebagai pentadbir Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) seperti yang telah dimandatkan oleh Kerajaan tidak ditakrifkan sebagai Organisasi Jagaan Yang Diuruskan (Managed Care Organization) di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586). Klik sini untuk maklumat lanjut.

Manfaat 1: Bantuan Saringan Kesihatan

  1. Apakah yang diperlukan untuk menjalankan saringan kesihatan?
    • Hanya MyKad perlu dibawa.
    • Tiada pendaftaran lebih awal diperlukan.
    • Tiada bayaran dikenakan.
    • Tidak perlu berpuasa.
  2. Bolehkah penerima yang sama membuat lebih daripada satu (1) saringan?
    • Tidak. Saringan hanya boleh dibuat hanya sekali sahaja untuk penerima yang layak selagi peruntukan mencukupi.
    • Setelah menjalankan lawatan pertama di klinik untuk saringan kesihatan, maklumat penerima telahpun direkod dan spesimen darah dan air kencing akan dihantar ke makmal swasta untuk menjalankan ujian yang ditetapkan.
    • Sekiranya penerima PeKa B40 pergi ke klinik yang lain untuk menjalankan saringan sekali lagi, proses tersebut tidak akan dapat diteruskan.
  3. Di manakah saringan kesihatan boleh dilakukan?
    • Mana-mana klinik swasta yang berdaftar dengan PeKa B40 dan mempunyai pelekat PeKa B40 di pintu klinik,
    • Senarai klinik PeKa B40 boleh dirujuk di sini.
    • Kebanyakan klinik kesihatan Kerajaan yang ada doktor bertugas.
  4. Apakah senarai saringan kesihatan yang akan dilakukan?
    • Pemeriksaan kesihatan:
      • Pengambilan sejarah kesihatan dan penyakit individu dan keluarga termasuk faktor risiko kesihatan
      • Saringan kesihatan mental
      • Pemeriksaan fizikal
      • Pemeriksaan klinikal payudara untuk penerima wanita, dan pemeriksaan klinikal prostat untuk penerima lelaki yang berisiko
    • Pemeriksaan makmal:
      • Ujian sel darah
      • Ujian kawalan gula dalam darah
      • Ujian paras kolesterol
      • Ujian air kencing
      • Ujian fungsi buah pinggang
    • Penerima manfaat tidak dikenakan apa-apa bayaran untuk Saringan Kesihatan yang dinyatakan di atas.
  5. Bagaimanakah keputusan saringan diperolehi?
    • Untuk penerima yang telah menjalankan Saringan Kesihatan mereka mungkin telah pun mendapat tarikh untuk lawatan kedua. Jika belum, doktor/ klinik akan menghubungi penerima melalui panggilan telefon, sistem pesanan ringkas (SMS) atau mesej WhatsApp, untuk menetapkan temujanji bagi lawatan kedua.
    • Keputusan saringan kesihatan akan dimaklumkan oleh doktor pada lawatan kedua. Sekiranya rawatan atau pemeriksaan lanjut diperlukan, doktor swasta akan merujuk penerima ke Klinik Kesihatan atau Hospital KKM yang relevan dan terdekat. Surat rujukan PeKa B40 akan dikeluarkan oleh klinik swasta untuk dibawa ke fasiliti KKM.

Manfaat 2: Bantuan Alat Perubatan

  1. Bagaimana cara untuk memohon bantuan alat perubatan?
    • Permohonan Bantuan Alat Perubatan adalah melalui Jabatan Kerja Sosial Perubatan di hospital Kementerian Kesihatan sahaja.
    • Pegawai Perubatan atau pakar yang merawat penerima PeKa B40 akan membuat rujukan kepada Pegawai Kerja Sosial Perubatan untuk proses permohonan.
    • Pegawai Perubatan atau pakar yang merawat juga akan mengesahkan apakah peralatan perubatan yang memerlukan bantuan.
  2. Apakah kategori Bantuan Alat Perubatan yang ditawarkan?
    • Terdapat 10 jenis kategori Bantuan Alat Perubatan yang ditawarkan berdasarkan pengesahan oleh pakar di Hospital KKM:
      • Stent untuk jantung
      • Alat sendi tiruan
      • Alat bantuan pendengaran
      • Perentak jantung
      • Prostesis & implan untuk tulang belakang
      • Prostesis dan ortosis tulang anggota
      • Kanta mata intraokular
      • Alat terapi pernafasan dan oxygen concentrator
      • Bantuan sokongan nutrisi
      • Kerusi roda
    • Had maksima Bantuan Alat Perubatan yang dapat dibiayai oleh PeKa B40 adalah RM20,000 (seumur hidup). Ianya juga tertakluk kepada julat harga dalam setiap kategori peralatan.
  3. Apa berlaku sekiranya kos alat perubatan yang dipohon kurang daripada RM20,000?
    • Selama PeKa B40 dilaksanakan oleh Kerajaan, penerima boleh memohon pelbagai bantuan alat perubatan di dalam senarai yang dikenalpasti, selagi baki jumlah RM20,000 mesih ada. Contohnya, seorang penerima yang telah mendapat bantuan kanta mata intraokular masih boleh memohon bantuan untuk perentak jantung pada masa yang berlainan.
  4. Adakah ahli keluarga juga akan mendapat manfaat Bantuan Alat Perubatan ini?
    • PeKa B40 hanya layak kepada Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar, yang berumur 50 tahun ke atas sahaja. Setiap orang mempunyai had bantuan RM20,000 (seumur hidup). Ianya tidak boleh dipanjangkan kepada ahli keluarga yang lain.

Manfaat 3: Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser

  1. Berapakah nilai insentif yang diberikan?
    • Jumlah insentif adalah sebanyak RM1,000 untuk menggalakkan pesakit melengkapkan rawatan kuratif di Hospital KKM seperti mana saranan doktor yang merawat.
    • Manfaat 3 ini tidak merangkumi rawatan tradisional atau alternatif.
    • Ia akan diberikan dalam dua (2) peringkat.
      • Peringkat pertama – RM300, apabila permohonan diterima daripada Hospital KKM mengikut proses yang ditetapkan dan akan dikreditkan terus ke dalam akaun penerima seperti mana proses Bantuan Sara Hidup (BSH) juga.
      • Peringkat kedua – RM700, setelah penerima manfaat tamat pelan rawatan kanser seperti yang disahkan oleh doktor yang merawat juga akan dikreditkan secara terus ke dalam akaun.
  2. Siapakah yang akan membantu dalam membuat permohonan insentif ini?
    • Sekiranya penerima PeKa B40 menghidap kanser dan masih dalam rawatan, doktor atau pakar perubatan yang merawat akan membuat permohonan bagi pihak penerima.
  3. Jika tidak menghabiskan rawatan kanser yang terakhir, bolehkah memohon insentif ini?
    • Insentif ini diwujudkan bagi menggalakkan pesakit kanser melengkapkan rawatan mereka. Syarat bagi mendapatkan insentif yang kedua adalah pesakit mesti akur pelan rawatan doktor dan melengkapkan rawatan sepenuhnya.
    • Insentif akan diberikan berdasarkan pengesahan doktor atau pakar perubatan yang merawat atas dasar kepakaran mereka untuk menentukan pencapaian peringkat lengkap rawatan.
    • Insentif ini juga hanya diberikan kepada penerima yang masih hidup sahaja dan tidak boleh dituntut oleh waris.
  4. Sekiranya penerima PeKa B40 sedang menerima rawatan kanser, adakah mereka layak untuk manfaat ini?
    • Ya. Penerima PeKa B40 yang sedang menjalani rawatan kanser layak untuk menfaat ini. Namun saringan kesihatan masih perlu dijalankan dan/ atau keputusan saringan dimasukkan ke dalam pangkalan data PeKa B40. Jika saringan kesihatan belum dijalankan, doktor atau pakar perubatan di hospital akan menasihati bagaimana untuk melakukan saringan kesihatan.

Manfaat 4: Insentif Tambang Pengangkutan

  1. Bagaimanakah bentuk insentif tambang pengangkutan ini?
    • Insentif tambang pengangkutan akan diberikan bagi perjalanan pergi dan balik untuk rawatan kanser (Manfaat 3) dan rawatan untuk menggunakan/ memasukkan alat perubatan (Manfaat 2) di Hospital KKM mengikut tarikh temujanji yang ditetapkan.
  2. Berapakah nilai insentif tambang pengangkutan yang diberikan?
    • Nilai insentif adalah bergantung kepada jarak rumah pesakit dengan hospital.
    • Ianya dibayar ke dalam akaun penerima untuk setiap kali perjalanan pergi dan balik hospital/ rumah, sehinggalah had maksimum sebanyak RM500 (Semenanjung) atau RM1000 (Sabah/ Sarawak/ Labuan) bagi setiap penyakit.
  3. Bagaimanakah untuk membuat permohonan insentif tersebut?
    • Bagi penerima Manfaat 2 iaitu Bantuan Alat Perubatan, permohonan boleh dibuat melalui Pegawai Kerja Sosial Perubatan.
    • Bagi penerima Manfaat 3 iaitu Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser, permohonan boleh dibuat melalui doktor yang merawat penyakit kanser tersebut di Hospital KKM.
  4. Apakah yang akan berlaku jika pesakit tidak datang ke hospital?
    • Insentif ini diberikan untuk menggalakkan pesakit datang ke hospital untuk mendapat atau melengkapkan rawatan. Jika pesakit tidak datang untuk rawatan, maka pesakit tidak akan mendapat insentif tersebut.
  5. Adakah insentif ini dibayar bagi perjalanan pergi dan balik?
    • Ya, insentif ini dikira dan dibayar sebagai bantuan perjalanan 2 hala iaitu dari rumah pergi ke hospital dan seterusnya pulang ke rumah mengikut kadar dan syarat yang ditetapkan untuk PeKa B40.
  6. Bagaimanakah pembayaran Insentif Tambang Pengangkutan dibuat?
    • Setelah permohonan untuk Insentif Tambang Pengangkutan dibuat oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan atau Pegawai Perubatan yang merawat, sistem akan mengira jumlah bayaran berdasarkan jarak yang telah ditentukan.
    • Bayaran akan dibuat terus kepada akaun bank pesakit sebelum rawatan susulan akan datang.

Pengamal Perubatan Swasta

  1. Bagaimanakan pengamal perubatan swasta akan dibayar?
    • Pembayaran kepada pengamal perubatan swasta adalah berdasarkan Jadual ke-7 dalam Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan dan Swasta 1998, pindaan 2006 yang sedang diguna pakai sekarang.
    • Pengamal perubatan yang terlibat tidak perlu membayar sebarang yuran pendaftaran.
    • Tiada fee splitting untuk perkhidmatan saringan kesihatan yang dijalankan di bawah PeKa B40.
    • Ujian makmal telah ditetapkan dan akan dibayar terus kepada makmal swasta tersebut. Tiada sebarang bayaran atau perkongsian bayaran berlaku di antara klinik dan makmal swasta.
    • Pengamal perubatan yang berminat boleh mendaftar untuk menyertai skim ini secara sukarela (bukan mandatori).
  2. Bagaimanakah caranya bagi pengamal perubatan swasta yang berminat untuk menyertai skim ini?
    • Para pengamal perubatan swasta boleh mendaftar secara atas talian di sini.

Info

Kelebihan Penglibatan Dalam PeKa B40

  • Tiada penglibatan MCO/TPA
  • Tiada sebarang yuran pendaftaran dan retainer fee
  • Tiada fee-splitting antara makmal dan GP
  • Tidak perlu membayar apa-apa kepada makmal. Consumables akan disediakan oleh pihak makmal yang berdaftar
  • Tidak perlu membeli sistem IT khas
  • Potensi mendapat klien baru
  • Membantu golongan yang berpendapatan rendah B40
  • Penglibatan adalah secara sukarela

Konsultansi Pengamal Perubatan

  • Lawatan Pertama: Pengambilan sejarah pesakit, pemeriksaan fizikal dan pengambilan ujian darah & air kencing;
  • Lawatan Kedua: Konsultasi untuk menyemak keputusan makmal dan melakukan rujukan sekiranya perlu.
Sejarah PesakitPemeriksaan Fizikal
Sejarah Perubatan & PembedahanBerat, Tinggi, BMI (pengiraan automatik);
Sejarah KeluargaVital signs
Sejarah SosialGeneral Examination & Systemic Examination
Saringan Simptom & Faktor RisikoClinical Breast Examination (CBE)
Saringan Simptom untuk Kesihatan MentalDigital Rectal Examination (DRE) **jika ada indikasi
  • Ujian Makmal:
    • Full Blood Count
    • Renal Profile with estimated glomerular filtration rate (eGFR)
    • HbA1c
    • Random Lipid Profile
    • Urine Biochemistry

Makmal Yang Berdaftar Untuk PeKa B40

  • Klinik bebas memilih mana-mana makmal yang berdaftar
  • Tiada sebarang transaksi bayaran antara klinik dengan makmal.
  • Makmal akan membekalkan barang guna habis (consumables) untuk pengumpulan spesimen.
  • Makmal akan mengambil spesimen daripada klinik
  • Keputusan ujian akan di muatnaik ke pangkalan data oleh makmal.
  • Makmal yang berdaftar sehingga kini:
    • BP Lab
    • Clinipath
    • Gribbles
    • Pantai Premier
    • Pathlab
    • Quantum Diagnostic

Kadar dan Kaedah Pembayaran

  • Lawatan Pertama : Bayaran terus ke Klinik – RM 40
  • Lawatan Kedua : Bayaran terus ke Klinik – RM 20
  • Berdasarkan jadual yang berkuatkuasa:
    • Jadual Ketujuh dalam Peraturan-peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Klinik Perubatan Swasta atau Klinik Pergigian Swasta) 2006 – Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998
  • Proses pembayaran akan dilakukan dua kali setiap bulan.

Senarai Kriteria Pengamal Perubatan Am Swasta

  1. Klinik mestilah mempunyai Borang B atau F
  2. Klinik mestilah berdaftar sebagai ‘Klinik Perubatan Swasta Umum’.
  3. Klinik yang berdaftar sebagai ‘Klinik Perubatan Swasta Pakar’ dan ‘Klinik Perubatan Swasta Umum dengan Perkhidmatan Estetik sebagai area of interest’ adalah dikecualikan dari menyertai projek perintis buat masa ini.
  4. Pengamal Perubatan (Pegawai Bertanggungjawab) mestilah berdaftar dengan Malaysia Medical Council (MMC).
  5. Pengamal Perubatan (Pegawai Bertanggungjawab) mestilah mempunyai sijil Annual Practicing Certificate (APC) yang sah.
  6. Fasiliti klinik hendaklah mempunyai talian telefon, akses internet, komputer dan kemudahan mesin pencetak (printer).

Syarat-syarat Pendaftaran GP

Pendaftaran klinik hendaklah di atas nama “Orang yang Bertanggungjawab” di dalam Perakuan Pendaftaran Klinik. Dokumen yang diperlukan untuk dimuat naik :

  • Perakuan pendaftaran untuk mengendalikan klinik perubatan swasta (Borang B atau Borang F)
  • Sijil pendaftaran penuh MPM bagi orang yang bertanggungjawab
  • Perakuan amalan tahunan semasa bagi orang yang bertanggungjawab (APC 2019)
  • Bukti akaun bank

Penafian :

  • Sekiranya terdapat pelanggaran pengisytiharan, perjanjian dengan klinik akan ditamatkan.
  • Pendaftaran e-Perolehan adalah tidak diperlukan untuk GP berdaftar sebagai Klinik PeKa B40.
  • Hanya pengamal perubatan bukar pakar sahaja dibenarkan menjalankan saringan kesihatan PeKa B40.

Proses Pendaftaran GP


Pelekat Klinik PeKa B40

  • Pelekat ini akan diberikan oleh ProtectHealth
  • Sila paparkan pelekat ini di pintu depan klinik anda supaya para penerima PeKa B40 dapat mengenalpasti klinik anda sebagai Klinik PeKa B40.

Sumber : Portal PekaB40

Leave a Reply