Kesihatan

Sisa plastik: Kastam ketatkan pemeriksaan kontena

KUALA LUMPUR: Pemeriksaan lebih ketat akan dilakukan terhadap kontena di semua pelabuhan bagi memastikan tiada bahan sisa plastik yang dilarang lepas masuk ke negara ini.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Paddy Abdul Halim berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membanteras kegiatan haram itu.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin menunjukkan sisa plastik yang akan dihantar semula kepada pengeksport di Pelabuhan Barat pada Mei lalu. – Gambar fail/BERNAMA

“Kami melakukan pemeriksaan yang lebih ketat terhadap kontena-kontena yang masuk ke dalam negara terutama di Pelabuhan Klang.

“Kastam juga menyertai pasukan khas yang diwujudkan oleh kerajaan dan memandang serius kegiatan membawa masuk sisa plastik ke dalam negara,” katanya kepada Bernama.

Isu sisa plastik mendapat perhatian apabila media melaporkan beratus-ratus kontena di Pelabuhan Klang yang diperiksa dalam 10 operasi pihak berkuasa mengandungi sampah haram yang dibawa masuk ke dalam negara.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin pada 28 Mei lepas dilapor berkata sejumlah 60 kontena sisa plastik yang dibawa masuk ke negara ini secara haram akan dihantar semula ke negara asal.

Beliau berkata 10 daripada 60 kontena yang keseluruhannya seberat 450 tan metrik merupakan sisa plastik daripada pelbagai negara seperti China, Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Kanada, Arab Saudi dan United Kingdom.

Malaysia adalah antara negara yang mengimport sisa plastik yang boleh dikitar semula dan setakat ini sejumlah 62 syarikat mempunyai Permit Import (AP) sisa plastik yang dikeluarkan Jabatan Pengurusan Sisa dan Pepejal Negara (JPSPN) bagi membawa masuk dan memproses skrap plastik di negara ini.

Bagaimanapun, syarat-syarat ketat dikenakan untuk membawa masuk dan memproses sisa plastik itu antaranya kebenaran import hanya diberi kepada pengimport yang mempunyai premis dan menjalankan aktiviti pemprosesan/kitar semula sisa plastik import.

Mengikut syarat premis pemprosesan skrap plastik kod tarif 3915, pemegang AP yang diluluskan untuk mengimport skrap plastik hanya dibenar menyimpan dan memproses skrap plastik yang diluluskan di premis yang dinyatakan di surat kelulusan pengeksport (pembekal) skrap plastik sahaja.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima laporan berhubung pembukaan kilang kitar semula sisa plastik yang dilapor beroperasi tanpa lesen di Jenjarom, Kuala Langat, dekat sini.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani berkata laporan berhubung perkara itu diterima tahun lepas.

“Hasil siasatan dan kajian SPRM mendapati pembukaan kilang berkenaan yang dilapor beroperasi secara haram tidak mempunyai sebarang unsur yang boleh dikaitkan dengan rasuah.

“Ya, SPRM ada menerima laporan berhubung perkara itu tetapi siasatan kes ini seharusnya diserah kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak-pihak berkaitan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sehingga kini, SPRM tidak menerima sebarang laporan baharu (tahun ini) berhubung perkara itu daripada mana-mana pihak.

Media, pada 3 Jun lepas melaporkan 10 daripada 41 kilang haram yang memproses sisa plastik di Selangor telah tutup, dan bakinya dijangka ditutup selewat-lewatnya Julai ini.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki yang disyaki menerima rasuah berhubung pembukaan kilang kitar semula sisa plastik tahun lepas dan lelaki itu telah dibebaskan.

“Kes ini (pembukaan kilang haram) masih dalam siasatan kami sehingga kini,” katanya.

Ditanya sama ada SPRM ada menerima laporan berhubung salah guna kuasa dan rasuah dengan kemasukan kontena-kontena yang membawa sisa plastik di Pelabuhan Klang, Alias berkata pihaknya tidak menerima laporan berhubung perkara itu.

— BERNAMA

Advertisements

Categories: Kesihatan

Leave a Reply