Ilmu Pengetahuan & Komunikasi

Teknologi IBS mampu singkatkan tempoh pembinaan rumah !!

BERNAMA

Banting: Pembukaan kilang kedua Gamuda Industrial Building System Sdn Bhd (Gamuda IBS) disasar dapat mengurangkan separuh daripada tempoh masa pembinaan rumah mampu milik bertingkat.

Kilang di tapak seluas 27 hektar di kawasan perindustrian Bandar Mahkota Banting itu mengguna pakai Sistem Binaan Berindustri Digital (IBS) terkini yang menyatupadukan peralatan reka bentuk secara dalam talian serta platform Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dengan mesin robotik terkini bagi pembinaan bangunan.

Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda, Datuk Lin Yun Ling berkata, pengoperasian kilang itu di samping kilang pertama di Sepang kelak dapat membantu kerajaan memastikan rumah mampu milik bertingkat boleh disiapkan dengan lebih cepat dengan tempoh pembinaannya dikurangkan antara 12 hingga 18 bulan.

Beliau berkata, ini kerana Gamuda adalah antara pelopor dalam bidang IBS dan evolusi platfrom BIM yang diguna pakai dalam penghasilan produk di kedua-dua kilang berkenaan.

“Di kilang kami, proses reka bentuk maya yang dilakukan oleh arkitek dan jurutera akan memberi arahan kepada robot di bahagian pengeluaran dengan ketepatan yang tinggi sebelum dipasang di tapak pembinaan.

“Dengan ini, kami akan dapat memenuhi keperluan semua pemaju dalam industri tempatan serta projek perumahan persekutuan dan negeri yang akan mengambil separuh daripada tempoh masa pembinaannya,” katanya dalam kenyataan pada majlis perasmian kilang oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lin berkata, pemerkasaan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam pengoperasian kilang itu juga membuktikan Gamuda IBS mampu menarik dan meningkatkan jumlah tenaga kerja mahir tempatan dalam industri itu.

Katanya, ia bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 untuk mengurangkan penggunaan tenaga kerja tidak mahir asing di tapak pembinaan pada masa depan.

Sementara itu, Pengurus Besar Gamuda IBS, Tan Ek Khai berkata, jumlah pelaburan bagi kedua-dua kilang adalah lebih RM500 juta.

Katanya, kilang terbaru di Banting itu disasar dapat menghasilkan kapasiti jenis produk untuk pembinaan bangunan sehingga 60 tingkat berbanding kilang di Sepang yang mampu mengeluarkan bahan untuk bangunan 25 tingkat.

Advertisements

Leave a Reply