Lain - Lain

Dua beranak berasal dari Tumpat maut nahas di Raub selamat dikebumikan

TUMPAT: Dua mangsa kemalangan maut di Raub selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelaboran di sini, awal pagi tadi.

Jenazah mangsa, Hasliza Arini Muhamad @ Hamid, 34 dan anak bongsunya, Muhammad Khalish Kautsar Mohd Syaril, 2, dikebumikan jam 2.50 pagi selepas disembahyangkan di surau berhampiran.

Terdahulu, jenazah dua beranak itu tiba di sini pada jam 2.05 pagi dengan menaiki ambulans selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Raub, Pahang.

Hampir 100 saudara mara dan penduduk kampung menghadiri solat jenazah dan pengebumian dua beranak terbabit.

Sementara itu ibu Allahyarham Hasliza Arini, Sapinah Hussin, 67, dilihat tidak dapat menahan sebak ketika arwah anak dan cucunya tiba di tanah perkuburan.

Sebaik jenazah diusung untuk disembahyangkan Sapinah dilihat seakan pitam sebelum dipapah orang ramai untuk duduk.

Tragedi kira-kira jam 2.45 pagi semalam turut membabitkan suami Hasliza Arini iaitu Mohd Syaril Sulaiman, 44, serta dua lagi anak mereka, Khaliesah Khairina Mohd Syaril, 7, dan Dhia Afriena Mohd Syaril, 5, yang kini masih menerima rawatan di Hospital Lipis.

Tragedi di Kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhampiran Simpang Sungai Ruan, di Raub, Pahang, yang membabitkan kereta Perodua Myvi dan Perodua Kancil itu turut mengorbankan tiga lagi mangsa termasuk seorang bayi perempuan.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Categories: Lain - Lain

Leave a Reply