Kejuruteraan

Johor Bahru-Singapura Sistem Transit Rapid – Dr. Mahathir Bin Mohamad

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan akan menuntut kembali tanahnya di Bukit Chagar, Johor Bahru jika benar ia telah ditukar hak milik kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar tanpa melalui proses yang betul.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata jika tanah berkenaan telah dibeli oleh mana-mana pihak, kerajaan perlu membelinya semula.

“Kita akan tuntut balik tanah itu. Kalau ada pengambilan oleh mana-mana pihak, mestilah melalui proses sedia ada. Itu tanah kita (kerajaan Persekutuan). Kalau dia bayar, kita kena beli balik, kalau tak bayar, kita akan ambil balik.

“Saya tidak fikir Tuanku hendak rampas tanah itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Al-Bukhary, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, kerajaan setakat ini belum mendapat laporan penuh mengenai dakwaan berkenaan, hanya mengetahuinya menerusi laporan media.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita yang memetik sumber, mendakwa tanah itu telah ditukar milik ke atas nama Sultan Johor. Laporan itu juga mendakwa, Pejabat Tanah dan Galian Johor mendapat tahu pertukaran hak milik terbabit pada 28 Januari lalu.

Lokasi dimaksudkan adalah satu daripada lima bidang tanah di Bukit Chagar yang diberikan kepada Putrajaya oleh kerajaan negeri pada 2012 sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tanah untuk membina Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru.

Sumber dipetik portal berkenaan juga mendakwa, bila dan bagaimana Sultan Johor memiliki tanah terbabit masih samar, tetapi percaya geran tanah untuk 4.5 hektar ditukar semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) antara 2017 hingga 2018.

Berikutan itu, laporan sama menyebut, Putrajaya kini perlu menyediakan RM495 juta sebagai pampasan untuk mengambil balik tanah terbabit yang kini digunakan sebagai tempat parkir awam.

Sementara itu, Perdana Menteri ketika ditanya mengenai projek Sistem Transit Aliran Johor–Singapura (RTS) dari Johor Bahru ke Singapura, berkata kerajaan menetapkan enam bulan untuk melakukan kajian semula terhadap projek berkenaan.

“Kita ambil masa enam bulan untuk kaji semula, sama ada akan teruskan (projek) atau akan buat cadangan lain. Tetapi memang jelas RTS tidak (akan) selesaikan masalah dihadapi dengan trafik (kesesakan lalu lintas) antara Singapura dan Malaysia, (kerana) kereta api tak boleh bawa semua penumpang, kapasitinya terhad,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Categories: Kejuruteraan

Leave a Reply