12 Tempat Menarik Di Sabah, Negeri Di Bawah Bayu Yang Mesti Dilawati

str2_cczsabah_LEAD1_chester_1-770x470

 

Sabah, Indah berbentuk muka bumi yang bergunung-ganang, berhutan mekar dan dikelilingi Laut Sulu di bahagian timur lautnya, Laut China Selatan di bahagian pantai baratnya dan Laut Celebes di selatan.

Di samping keindahan bentuk muka bumi, negeri di bawah bayu ini turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang kebanyakannya dapat mendekatkan anda dengan keindahan dan keunikan alam semulajadi.

 


Masjid Negeri Sabah

1465999219505-largejpg

 

Masjid Negeri bagi negeri Sabah ini memiliki seni bina yang menggabungkan bangunan-bangunan pada zaman keagungan Islam dan zaman moden. Kubah masjid ini pula diinspirasikan daripada masjid yang terkenal di dunia iaitu Masjid Biru di Istanbul, Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis dan Masjid Jame di New Delhi, manakala, menaranya yang berketinggian 215 kaki pula diambil dari rekaan Masjid Nabi di Madinah dan Masjidil Haram di Mekah.

Ilham rekaan yang begitu kreatif dan pelbagai sekali bukan? Lain dari yang lain, jadi tak perlu berfikir panjang, lawatilah masjid ini bersama keluarga untuk lihatlah sendiri keindahan rekabentuknya yang sangat mengagumkan.

Alamat: Jalan Tunku Abdul Rahman, Sembulan, 88100 Kota Kinabalu, Sabah

 

 


Muzium Negeri Sabah

RS21631_IMG_3120-lpr

 

Dikelilingi oleh taman indah penuh kehijauan ini merupakan Muzium Negeri Sabah yang berkeluasan 17 hektar.  Selain taman yang indah, di sekitar muzium ini juga terletaknya sebuah zoo dan kampung warisan. Antara pameran lain yang terletak di kompleks ini adalah Muzium Peradaban Islam Sabah dan Pusat Sains dan Teknologi.

Satu destinasi yang wajid dilawati sekiranya ke Sabah kerana sangat banyak sekali yang dapat dilihat di sini bersama keluarga, kata orang sambil menyelam minum air, sambil makan angin, sambil mengisi ilmu di dada.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

Harga: Warganegara RM2 | Pelancong RM15 | Warganegara (Pelajar Beruniform, OKU, Warga Emas, Pemandu Teksi) Percuma

Alamat: Jalan Muzium, 88300 Kota Kinabalu, Sabah

 


Marine Museum

1

 

Marine Museum Sabah dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti ruangan atrium yang dapat memberikan pengalaman seperti anda berada di dasar lautan, muzium yang memaparkan flora fauna di dalam laut dan akhir sekali adalah laluan paya bakau.

Anda dan anak-anak dapat melihat pertunjukan video tentang hidupan laut pada setiap Sabtu, 9.00am hingga 12.30pm dan seterusnya pula pada pukul 2.00pm hingga 4.00pm. Untuk melihat haiwan-haiwan laut yang penuh warna-warni ini diberi makan adalah pada setiap pukul 3.30pm hingga 4.00pm. Akuarium yang terletak di Universiti Malaysia Sabah ini dikatakan antara yang terbaik yang berada di Kepulauan Borneo.

Waktu Operasi: Isnin – Khamis, Sabtu (9.00am – 12.30pm, 2.00pm – 4.00pm) | Jumaat (9.00am – 11.30am, 2.00pm – 4.00pm) | Ahad & Cuti Umum (Tutup)

Harga: Dewasa MyKad: RM10, Biasa: RM20 | Kanak-kanak, Pelajar (4 -17 Tahun) & Warga Emas MyKad: RM5, Biasa: RM10 | Kamera MyKad: RM5, Biasa: RM10

Alamat: Universiti Malaysia Sabah Borneo Marine Research Institute, Jalan UMS, Sabah, 88400 Kota Kinabalu

 


Pasar Filipina

10370500_801205153224228_1937376309_n

 

Pasar Filipina ini pula syurga bagi pencinta makanan, di sini anda dapat menemui pelbagai jenis makanan laut, maklumlah Sabah kan kaya dengan hasil laut. Kalau anda ke sini, jangan lupa untuk mencuba makanan popular di sini (yang peliknya, bukan seafood), BBQ kepak ayam madu yang memang pergh! Sedap hingga menjilat jari! Walau lapar macam mana sekalipun, jangan endahkan kebersihan kedai yang dipilih, nanti tak pasal-pasal satu keluarga tak dapat menikmati percutian di Sabah sebab sakit perut, kan susah.

Waktu Operasi: Setiap Hari (5.30pm – 11.00pm)

Alamat: Jalan Tun Fuad Stephen, Pusat Bandar Kota Kinabalu, 88000 Kota Kinabalu, Sabah

 


Masjid Kota Kinabalu

sabah-m-bandarayakk-1-750x430

 

Merupakan masjid kedua terpenting di Kota Kinabalu selepas Masjid negeri di Sembulan. Kos pembinaan Masjid Kota Kinabalu ini adalah 34 juta ringgit. Seni binanya diinspirasikan daripada Masjid Nabawi yang terletak di Madinah.

Juga digelar sebagai Masjid Terapung kerana dikelilingi oleh lagun buatan manusia. Bukan itu sahaja, masjid ini juga agak lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti mesin ATM, klinik penjagaan paliatif, 3 buah madrasah dan ladang ikan.

Kalau anda nak menikmati pemandangan masjid indah ini dengan lebih dramatik lagi dari air yang terdapat di sekeliling, anda boleh menaiki bot pedal yang disediakan pihak masjid. Jangan lupa bawa kamera anda sewaktu ke sini.

Alamat: Jalan Teluk Likas, Kampung Likas, 88400 Kota Kinabalu, Sabah

 


Pulau Sapi

pulau-sapi-sabah-laut-1200x800

 

Bagi yang sukakan aktiviti lasak, di Pulau Sapi terletaknya Coral Flyer yang merupakan zipline yang terpanjang di dunia, tak main-main, serius, zipline yang terpanjang di dunia adalah di Sabah, dari Pulau Sapi ke Pulau Gaya, nak berflying fox, inilah dia lokasi paling ekstrem untuk dicuba.

Aktiviti lain yang mesti dibuat kalau sudah berada di sini adalah seperti snorkelling dan selaman skuba terutamanya pada waktu-waktu yang mana matahari memancarkan cahaya yang cerah, dengan air yang agak jernih, cahaya matahari dapat menembusi air laut yang membolehkan anda menikmati panorama indah hidupan di sekeliling batu-batu karang laut yang penuh warna-warni dengan jelas sekali.

Bulan Februari sehingga Mei merupakan bulan yang terbaik untuk melawat Pulau Sapi disebabkan pulau ini memiliki segalanya yang diidamkan oleh pencinta alam semulajadi seperti air laut yang jernih, hutan yang mekar hijau dan pantai yang berpasir putih, maka pada musim cuti (selain Feb-Mei), agak meriah dengan para pelancong.

Alamat: Pulau Sapi, Kota Kinabalu 88000, Sabah

 


Tambunan Rafflesia Reserve

101000040_1

 

Hanyalah 1 jam perjalanan dari Kota Kinabalu, anda akan sampai ke Tambunan Rafflesia Reserve yang menawarkan aktiviti jungle trekking untuk mencari bunga rafflesia yang merupakan bunga yang paling unik, paling pelik dan paling besar di dunia ini, banyak sebab untuk anda melihat bunga Rafflesia ini di depan mata sendiri.

Namun begitu, bersedialah untuk menghidu bau yang agak kurang enak sebaik mendekati bunga ini. Nak tahu kenapa ia bunga tapi busuk? Bunga Rafflesia ini mengeluarkan bau busuk untuk menarik perhatian lalat dan serangga untuk menuju ke arahnya dan pap! dimakan begitu sahaja. Itulah kisahnya mengapa bunga ini pelik. Walau bagaimanapun, bunga ini hanya berkembang beberapa hari sahaja, good luck!

Waktu Operasi: 8.00am – 3.00pm

Harga: RM5

Alamat: Tambunan Raflesia Reserve, 500, 89650 Tambunan, Sabah

 


Desa Cattle Dairy Farm

Desa-Cattle-Dairy-Farm

 

Desa Cattle Dairy Farm ini juga digelar sebagai New Zealand Kecil negeri Sabah kerana panorama sekelilingnya yang kelihatan seperti di negara orang Maori itu. Pemandangan ladang lembu ini sangat menyejukkan mata dengan kehijauan rumputnya yang seluas pandangan mata. Bukan itu sahaja, bukit-bukau di sekeliling ladang ini juga menjadikan pemandangan 100 kali lebih memukau sesiapa sahaja yang datang. Kalau dah datang ke sini, jangan lupa untuk membeli produk-produk tenusu hasil dari ladang ini, segar dan sedap!

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM5 | Kanak-kanak MyKad: RM4

Alamat: Desa Cattle Dairy Farm, 89308 Kundasang, Sabah

 


Ladang Teh Sabah

 

Ladang Teh Sabah ini merupakan ladang teh organik yang satu-satunya di kepualauan Borneo. Berketinggian 2272 kaki dari aras laut dan berkeluasan 6200 ekar, dari sini anda dapat melihat pemandangan hutan rimba dan Gunung Kinabalu yang sangat mengasyikkan.

Perjalanan anda di sini tidak patut berhenti di ladangnya sahaja, alang-alang dah sampai, singgahlah ke kilang tehnya sekali, baru lengkap perjalanan anda. Di kilang ini, anda dapat melihat demonstrasi pembuatan teh dari proses ia dipetik, dibersihkan, digredkan, pendek kata dari A ke Z. Sangat informatif dan bermakna untuk anak-anak kecil yang bersifat ingin tahu.

Waktu Operasi: 8.00am – 4.00pm

Alamat: Ladang Teh Sabah, KM 17, Jalan Ranau/Sandakan Kampung Nalapak Beg berkunci No.2, 89309, Ranau, Sabah

 


Rumah Terbalik Tamparuli

422040_376547779038015_100000483871764_1445087_1505823589_n

 

Bagaimanalah agaknya kan kalau dunia ini semuanya terbalik? Agak-agak pening tak kepala? Nak tahu macam mana rasanya hidup dalam dunia yang serba tak kena ni bolehlah ke Rumah Terbalik Tamparuli, kesemuanya, daripada rumah sehinggalah ke perabot dalamannya semuanya terbalik. Selain daripada tarikan Rumah Terbalik Tamparuli ini, di sekitar kawasan ini juga terdapat 3D Wonders Museum yang mempamerkan karya-karya seni 3D.

Waktu Operasi Rumah Terbalik Tamparuli: Setiap Hari (7.00am – 7.00pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM10.60, Biasa: RM19.10 | Kanak-kanak (4 – 12 Tahun) RM5.30 | Kanak-kanak (Bawah 3 Tahun) Percuma

Alamat: Rumah Terbalik Tamparuli, Kampung Telibong, Batu 21, Jalan Telibong, Tamparuli 89250

 


Sepilok Orang Utan Centre

Sepilok Orang Utan

 

Orang utan merupakan salah satu daripada haiwan yang banyak kerenah yang menghiburkan hati. Kalau anda ke Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre, anda dan keluarga dapat melihat bayi orang utan yang tak duduk diam bergerak dari sana ke sini menggunakan tali-tali dan tayar yang tergantung di merata tempat.

Masing-masing memiliki personaliti tersendiri yang menambahkan lagi keterujaan sesiapa sahaja yang melihat. Walau bagaimanapun, untuk tujuan keselamatan, pelawat hanya boleh berjalan di atas ruang jalan yang disediakan dan tidak dibenarkan untuk mendekati haiwan-haiwan ini. Dapat tengok secara live pun dah cukup puas hati kan, bukan senang nak jumpa.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.45am – 4.00pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM5, Biasa: RM30 | Kanak-kanak (17 Tahun & Kebawah) MyKad: RM2, Biasa: RM15 | Kamera: RM10

Alamat: Sabah Wildlife Department, W.D.T. 200, Sandakan, Jalan Sepilok, Sepilok, 90000 Sandakan, Sabah

 


Pasar Tanjung Tawau

8710101804_51330af576_b

 

Pasar ini dikatakan sebagai pasar tertutup yang terbesar di Malaysia dengan 6000 buah gerai. Bermacam jenis barangan boleh ditemui di sini dari makanan laut, rempah ratus hinggalah ke barangan-barangan logam untuk kemudahan di dapur. Antara yang menjadi tarikan utama para pelancong di sini adalah amplang yang dijual murah. Bagi anda yang sukakan ikan bilis, kualiti ikan ini di sini agak memuaskan, segar dan murah pula tu. Apa-apa pun, sebagai orang yang bijak berbelanja, jangan lupa untuk tawar-menawar, baru puas hati!

Alamat: Pasar Tanjung Tawau, Bandar Tawau, 91000 Tawau, Sabah

 

 

Sumber: maisinggah.com