Ilmu Pengetahuan & Komunikasi

Bagaimana Memohon Zakat Bantuan Biasiswa Pasca Ijazah (Dana Ibnu Khaldun) ? ( Tabung Baitulmal Majlis Islam Sarawak )

baitulmal1

BIASISWA DANA IBNU KHALDUN

PENGENALAN

Dana Ibnu Khaldun telah dilancarkan pada 17 September 2004 oleh YAB Ketua Menteri Sarawak sempena Seminar Pemikiran Ibnu Khaldun III yang dianjurkan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS). Penubuhan dana ini merupakan hasil daripada idea YAB Ketua Menteri semasa perasmian Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Pusat Tuisyen Majlis Jamek Negeri Sarawak pada 12 April 2004 dan telah menyarankan supaya Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) dan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) berganding bahu menubuh Tabung Pendidikan Islam. Dana ini bermatlamat untuk memberikan galakan kepada masyarakat Islam di Sarawak supaya meningkatkan ilmu duniawi dan ukhrawi sejajar dengan usaha untuk melahirkan umat yang terbaik.

Dana ini menawarkan peluang biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang agama dan profesional pada peringkat pasca ijazah di institusi pengajian tinggi (IPT) yang diiktiraf oleh kerajaan.

Secara ringkas, bidang pengajian yang diperuntukkan bagi mendapatkan skim biasiswa ini tidak terikat kepada mana-mana jurusan tetapi dinilai mengikut keperluan semasa. Bidang-bidang yang diberi keutamaan adalah antara lain perubatan, bioteknologi, pertanian, kejuruteraan, akuakultur, teknologi makanan, pengajian Islam, pengurusan, perakaunan, teknologi maklumat, ekonomi dan sebagainya sejajar dengan usaha untuk memperkukuhkan kualiti ummah.

SYARAT KELAYAKAN

1. Pemohon mestilah sudah memiliki sekurang-kurangnya Sarjana Muda dalam mana-mana pengajian melalui institusi yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

2. Pemohon mempunyai pencapaian Akademik yang cemerlang di dalam Sarjana Muda yang telah dimiliki dan aktif di dalam kegiatan kegiatan persatuan dan pertubuhan.

3. Pengajian yang ditawarkan mestilah selain daripada pengajian yang telah diperolehi.Misalnya, bidang agama kepada bidang profesional dan begitu juga sebaliknya.

4. Institusi Pengajian Tinggi diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang mendapat kelulusan Kementerian Pelajaran Malaysia.

5. Urusan kemasukan ke IPT hendaklah dibuat oleh pelajar sendiri.

6. Warganegara Malaysia dan keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang bermastautin di Sarawak.

7. Pelajar-pelajar yang ditamatkan bantuan oleh mana-mana badan penganjur boleh dipertimbangkan tajaan selepas satu tahun ditamatkan bantuan dengan syarat pengajian bagi tahun tersebut ditanggung sendiri dan memperolehi prestasi yang cemerlang. Semua ini tertakluk kepada pertimbangan JTDIK mengikut keutamaan atau merit sesuatu kes tertentu.

8. Skim bantuan akan diberi keutamaan kepada pemohon-pemohon yang mengikuti pengajian bagi program sepenuh masa dan pengajian bentuk lain tertakluk kepada budi bicara Jawatankuasa Teknikal Dana Ibnu Khaldun (JTDIK).

CARA-CARA MEMOHON

Pemohon boleh mendapatkan borang permohonan daripada urusetia Dana Ibnu Khaldun iaitu Ustaz Hj. Yusree atau Pn. Hazlin di Tabung Baitulmal Sarawak, Bangunan Baitulmal, Lot 71, Seksyen 8, KTLD, Jln. Hj. Muhammad Kassim, 93400, Kuching, Sarawak.

 


Pengagihan Zakat

Zakat dikutip untuk mencapai beberapa matlamat. Selain daripada menyucikan harta dan jiwa pembayar zakat, zakat adalah salah satu daripada sumber pembiayaan utama bagi matlamat-matlamat kebajikan dan pembangunan yang selaras dengan peruntukan syarak bagi kelapan-lapan asnaf zakat.

Firman Allah yang bermaksud:-
‘Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang faqir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah: 60)

Disebabkan penerima zakat sudah ditentukan oleh Allah S.W.T sendiri, maka penggunaan kutipan zakat tidak boleh lari daripada lapan golongan penerima ini. Selagi ada penerima zakat yang berhak menerima, selagi itu kutipan zakat itu mesti diagihkan pada penerima tersebut.

Asnaf Penerima Agihan Zakat

I. Fakir
Orang yang tidak mempunyai harta atau usaha yang dapat menghasilkan 50 peratus daripada keperluan hidupnya seharian (pendapatannya kurang daripada 50%).

II. Miskin
Orang yang mempunyai harta dan usaha yang dapat menghasilkan lebih daripada 50% untuk keperluan hidupnya seharian tetapi tidak mencukupi. (Pendapatannya tidak mampu memenuhi keperluan harian).

III. Amil
Orang yang dilantik atau pekerja-pekerja (kakitangan) yang boleh dipercayai mengurus hal ehwal zakat, mengumpul dan membahagikan kepada yang berhak menerimanya sesuai dengan Hukum Syarak.

IV. Muallaf
Orang yang baru memeluk Islam dan keimanannya belum lagi kukuh. Mereka ini perlu dijinakkan hatinya ataupun seseorang yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam.Nota: Mereka yang telah bertahun-tahun memeluk Islam terkeluar daripada asnaf muallaf.

V. Al-Riqab
Hamba yang dijanjikan oleh tuannya untuk dimerdekakan dengan cara menebus dirinya dengan sejumlah wang. Dan juga, membebaskan kaum muslimin daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan sama ada dari segi fizikal, mental, kejahilan ataupun terkongkong di bawah penguasaan orang yang zalim.

VI. Al-Gharimin
Orang yang terpaksa berhutang disebabkan keperluan mendesak yang tidak berlebih-lebihan bagi diri dan masyarakat Islam yang bukan kerana maksiat (nafsu).

VII. Fisabilillah

Aktiviti-aktiviti atau perjuangan di jalan Allah S.W.T seperti menegak syiar Islam, menuntut ilmu dan seumpamanya.

VIII. Ibnu Sabil

Orang yang kekurangan bekalan dalam perjalanan dengan tujuan baik seperti menyiarkan ajaran Agama Islam dan seumpamanya.


 

baitulmal1

 

Sebarang Pertanyaan, sila hubungi:

TTabung Baitulmal Sarawak Lot 3293, Blok 217, Kuching North Land District, Jalan Batu Kawa, 93250 Kuching

Talian Umum : 082-682861 / 082-682863
Talian Kutipan Zakat : 082-683270
Talian Agihan Zakat : 082-683709
Fax : 082-684820
Email : admin@tbs.org.my

 

Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) ditubuhkan oleh kerajaan negeri Sarawak pada tahun 1984 di bawah Ordinan Majlis Islam Sarawak (Pemerbadanan) (Pindaan) 1984, berperanan dan bertanggungjawab dalam Pengurusan Zakat, Wakaf dan Sedekah di negeri Sarawak, Malaysia.

Advertisements

Leave a Reply