Ilmu Pengetahuan & Komunikasi

Bagaimana Komunikasi “Tanpa Bercakap” Dipraktikkan ?

Manusia memerlukan sistem komunikasi untuk menyampaikan mesej antara satu sama lain. Komunikasi terbahagi kepada komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan. Komunikasi lisan memerlukan kita untuk menggunakan suara dan pergerakan mulut iaitu bercakap, manakala komunikasi bukan lisan tidak memerlukannya.

 

Apa Itu AAC?

Komunikasi Augmentatif dan Alternatif, atau singkatannya AAC merupakan satu sistem komunikasi bukan lisan. AAC tidak memerlukan kita untuk bercakap bagi menyampaikan sesuatu mesej kepada orang lain. Ekspresi muka, pergerakan anggota badan, penggunaan gambar, simbol dan juga sistem tulisan merupakan antara contoh penggunaan AAC.

Komunikasi augmentatif secara spesifiknya digunakan bagi menyokong kebolehan bahasa, pertuturan dan komunikasi sedia ada yang terhad. Komunikasi alternatif pula digunakan bagi menggantikan kaedah komunikasi lisan individu yang tidak boleh bercakap.

 

Siapa Memerlukan AAC?

AAC diperlukan oleh individu yang tidak boleh menggunakan pertuturan untuk berkomunikasi secara efektif dalam semua situasi kehidupan. Individu tersebut kebiasaannya terdiri daripada kanak-kanak atau orang dewasa yang mempunyai masalah bahasa, pertuturan dan komunikasi pada tahap teruk. Masalah ini boleh berpunca daripada faktor-faktor seperti berikut:-

  • Autisma

  • Sindrom Down

  • Palsi Serebral

  • Kelainan Upaya Mental

  • Kecederaan Otak

  • Strok

 

Jenis-jenis Sistem AAC

Sistem AAC terbahagi kepada:

  • Sistem Komunikasi Tanpa Bantuan

  • Sistem Komunikasi Dengan Bantuan

Sistem Komunikasi Tanpa Bantuan

  • Sistem ini tidak memerlukan individu untuk menggunakan sebarang alat bantuan bagi berkomunikasi. Ia bergantung sepenuhnya kepada kebolehan fizikal individu.

  • Sebagai contoh, individu menggunakan bahasa isyarat, mimik muka, dan pergerakan anggota badan (gesture) untuk menyampaikan mesej.

Bahasa Isyarat bermaksud “Selamat Pagi
Sumber:ikhwan-smoothcriminal.blogspot.com
Bahasa Isyarat : Abjad Jari
Sumber: kualalumpurcity.olx.com.my

 

Sistem Komunikasi Dengan Bantuan

  • Sistem ini memerlukan individu menggunakan alat bantuan dan/atau kaedah tertentu bagi berkomunikasi. Alat bantuan tersebut boleh terdiri daripada alatan berteknologi rendah atau berteknologi tinggi.

  • Sebagai contoh, individu boleh menggunakan kertas dan pensil (sistem tulisan), buku atau papan komunikasi, serta alat bantuan komunikasi elektronik yang boleh mengeluarkan suara bagi tujuan berkomunikasi dengan individu lain.

AAC berteknologi rendah : Buku Komunikasi
Sumber: aac-rerc.psu.edu
AAC berteknologi tinggi : iPad
Sumber: palsoftwaredesigns.com

 

Faktor Pemilihan AAC

Antara faktor yang mempengaruhi pemilihan dan penggunaan AAC adalah seperti berikut:

  • Keupayaan fizikal;

  • Tahap kemahiran bahasa, pertuturan dan komunikasi;

  • Tahap kemahiran kognitif;

  • Status sosioekonomi;

  • Kemudahan akses mendapatkan AAC

  • Motivasi individu dan keluarga untuk menggunakan AAC

Penggunaan sistem AAC semakin berkembang dalam bidang pemulihan pertuturan di Malaysia. Oleh yang demikian, individu dengan masalah bahasa, pertuturan dan komunikasi boleh menggunakan sistem AAC ini bagi membantu mereka untuk berkomunikasi dengan lebih baik dalam semua situasi kehidupan.

 

 

 

 

Sumber rujukan:

  1. Portal MyHealth
Advertisements

Leave a Reply