Kesihatan

Hemodialisis – Rawatan Berpunca Daripada Kegagalan Buah Pinggang

Berapa ramaikah pesakit kegagalan ginjal yang mendapat rawatan hemodialisis?

Jumlah pesakit kegagalan ginjal yang mendapat rawatan hemodialisis semakin meningkat setiap tahun dan mencapai hampir 23,000 pesakit pada hujung tahun 2010 (Laporan ke-18, Malaysian Dialysis and Transplant Registry 2010).

Untuk maklumat lanjut : lawat laman web:www.msn.org.my/nrr

 

Apa itu hemodialisis ?

Hemodialisis ialah satu daripada kaedah rawatan gantian ginjal yang menggunakan mesin hemodialisis, tiga kali seminggu, sekurang-kurangnya 4 jam setiap sesi rawatan. Rawatan boleh dilakukan di pusat rawatan hemodialisis atau di rumah. Pesakit rawatan hemodialisis perlu menjalani pembedahan membuat ‘fistula’ terlebih dahulu. (sila rujuk di bawah)

Dua jarum khas dicucuk ke dalam ‘fistula’ untuk mengalirkan darah dan disambungkan ke mesin hemodialisis melalui tiub darah. Satu jarum untuk mengalirkan darah yang mengandungi bahan kumuh dari badan. Darah ini dibersihkan (dituras) menggunakan mesin hemodialisis. Darah yang telah dibersihkan akan masuk semula ke dalam badan melalui jarum yang satu lagi.

Apa itu vascular access ?

‘Vascular access’ kekal ialah pembuluh darah vena yang mengandungi campuran darah arteri bagi tujuan menyalurkan darah yang mencukupi semasa rawatan hemodialisis. Ia dibuat melalui pembedahan kecil untuk menyambung pembuluh arteri dengan vena. Penyambungan ini dinamakan ‘native AV fistula’ sekiranya saluran darah pesakit sendiri digunakan. Untuk tujuan yang sama bahan sintetik (synthetic graft) boleh digunakan.

Mereka yang mengalami kegagalan ginjal yang kronik dinasihatkan membuat persediaan awal untuk menjalani rawatan hemodialisis. Mereka juga dinasihatkan untuk melakukan pembedahan kecil (fistula) tersebut beberapa bulan sebelum rawatan hemodialisis diperlukan. Mereka yang enggan menjalani pembedahan ini menanggung risiko komplikasi jangka pendek atau jangka panjang apabila memulakan rawatan secara mengejut.

‘Native fistula’ yang telah terbentuk

Graf Sintetik biasanya berbentuk ‘Loop’

Adakah kriteria tertentu diadakan untuk membuat pilihan rawatan hemodialisis?

Berbagai faktor sosio ekonomi perlu diambil kira.

Ini termasuk :

  • Kemampuan untuk menggunakan kemudahan hemodialisis
  • Sokongan keluarga
  • Bantuan kewangan
  • Pilihan pesakit
  • Samada anda menghidapi penyakit lain yang mungkin meningkatkan risiko menjalankan rawatan hemodialisis, iaitu sebarang kontraindikasi. Sila rujuk di bawah.

Dimanakan boleh saya mendapatkan rawatan hemodialisis?

Terdapat banyak pusat pusat yang memberi rawatan hemodialisis di Malaysia. Ini termasuk hospital hospital Kementerian kesihatan, Badan bukan kerajaan, pusat dialisis swasta, pusat rawatan di universiti-universiti, dan pusat rawatan dialisis angkatan tentera.

 

Bagaimana saya tahu saya perlu memulakan rawatan hemodialisis?

Rawatan dialisis diperlukan apabila anda memperlihatkan tanda-tanda yang berikut :

  • Tanda-tanda dan gejala keracunan darah seperti loya, muntah, hilang selera makan, sawan,tahap kewarasan menurun.
  • Ujian darah fungsi ginjal menunjukan paras creatinine, urea dan potassium sangat tinggi.
  • Pengumpulan air dalam badan, malnutrisi(kekurangan zat makanan) atau kadar hemoglobin rendah (anaemia
  • Peningkatan “metabolic acidosis”
  • Kadar penurasan glomerular (GFR) kurang dari 10- 15mls/min (doktor akan melakukan ujian berkala bagi menentukan tahap fungsi ginjal)

Sila berjumpa Pakar Nefrologi supaya emmperolehi nasihat dan bantuan memulakan dialisis pada masa yang betul.

Apakah faktor faktor kontraindikasi rawatan hemodialisis?

  • Pesakit yang mengalami masalah fungsi sistem jantung tidak stabil
  • Masalah ‘vascular access’ yang serius
  • AIDS pada tahap serius

Tambahan, rawatan dialisis mungkin tidak sesuai untuk pesakit yang menghidapi penyakit kanser peringkat akhir ataupun penyakit lain yang melibatkan kegagalan fungsi organ peringkat akhir contohnya kehilangan daya kognitif dan ingatan yang teruk (dementia)

Kumpulan sokongan

Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) – laman web http://www.msn.org.my

Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) – http://www.nkf.org.my

 

 

 

 

 

Sumber rujukan:

  1. Portal MyHealth
Advertisements

Categories: Kesihatan