Pekerjaan

PERKESO – Bagaimana Memohon Pencen Ilat ?

Ilat adalah keuzuran yang berlaku kepada seseorang secara serius hingga menjadi kekal atau tidak mungkin sembuh mengakibatkan seseorang tidak mampu mencari nafkah seperti mana keupayaan seseorang yang normal.

Menurut Kamus Dewan Bahasa, mengistilahkan ilat sebagai sebab yang mengakibatkan sesuatu kecelakaan, kerugian atau tidak dapat bekerja lagi kerana cacat anggota badan disebabkan sesuatu perkara seperti kemalangan, kecelakaan, malapetaka atau penyakit yang kronik sebagai sebab yang mengakibatkan keuzuran anggota badan yang serius.

Seseorang pekerja selain dari kategori yang dikecualikan daripada liputan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan memenuhi syarat kelayakan yang telah ditetapkan akan  menerima faedah dari Skim Keilatan yang telah diperkenalkan sejak penubuhan nya pada tahun 1971. PERKESO berperanan mentadbir, melaksana dan menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan-peraturan Am Sosial Pekerja 1971.

Rajah 1: Petikan Akhbar Utusan Sarawak – Kuching (3 April 2013)

Majikan berperanan melaksanakan tanggung jawab sosial keatas pekerja manakala peranan agensi kerajaan seperti PERKESO pula melaksanakan aktiviti peningkatan kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerja. Petikan Akhbar Utusan Sarawak – Kuching (3 April 2013) mengulas mengenai  Kakitangan Awam menyambut baik langkah kerajaan memberi perlindungan Perkeso kepada anggota perkhidmatan awam bertaraf kontrak dan sementara.

Skim Keilatan

Menurut PERKESO, keilatan adalah merupakan suatu keuzuran yang berkekalan atau tidak mungkin akan sembuh yang mana mengakibatkan seseorang pekerja itu tidak mampu mencari nafkah sekurang-kurangnya satu pertiga (1/3) daripada keupayaan seseorang pekerja yang normal.

Pusat-Pusat Rawatan Perubatan Kerajaan dan Swasta dirujuk untuk memberikan pengesahan mengenai tahap keilatan yang dialami oleh seseorang. Pekerja yang terlibat perlu memohon laporan perubatan berkaitan penyakit-penyakit kronik yang menyebabkan keilatan untuk pertimbangan Pencen Ilat seperti sakit jantung, masalah buah pinggang, barah, sakit jiwa, asma, dan sebagainya.


 


 

Hospital-hospital kerajaan di setiap negeri menyediakan kaunter perkhidmatan Rekod Perubatan di Unit Rekod Perubatan bagi membolehkan orang ramai berurusan mendapatkan laporan perubatan.

Waktu Urusan Kaunter Rekod Perubatan

8.00 pagi – 5.00 petang kecuali Cuti Am (Sabtu ,Ahad dan Cuti Umum)

Keizinan Pesakit Sebelum Laporan Perubatan Dikeluarkan

Maklumat yang dikeluarkan dari rekod pesakit mengenai riwayat, rawatan klinikal, prosedur klinikal, diagnosa dan seumpamanya, perlu mendapat keizinan pesakit. Borang-borang permohonan dan keizinan pesakit perlu dilengkapkan dan ditandatangani dihadapan saksi.

Caj Bayaran Laporan Perubatan

Laporan Perubatan Biasa RM 40.00 Laporan Lengkap Pakar : RM 200 hingga RM 2,000 bergantung kepada kerumitan penyediaan laporan tersebut. Permohonan laporan perubatan lengkap boleh dikemukakan kepada pegawai yang bertugas di kaunter Jabatan Rekod Perubatan

Tempoh Laporan Perubatan Siap

Hospital Negeri dan Hospital Berpakar:  4 minggu Hospital Tanpa Pakar : 2 minggu

Persidangan Jemaah Doktor

Persidangan Jemaah Doktor untuk pengesahan ilat dibuat bilamana pihak PERKESO bersedia memanggil pekerja yang terlibat untuk hadir ke hospital-hospital terpilih pada tarikh-tarikh yang ditetapkan. Surat-surat panggilan ke persidangan jemaah tersebut dikeluarkan oleh pihak PERKESO.

Persidangan Jemaah Doktor Rayuan

Pemohon Pencen Ilat boleh memohon rayuan Keputusan Jemaah Doktor melalui PERKESO kepada Jemaah Doktor Rayuan untuk mendapatkan keputusan akhir dengan membawa dokumen-dokumen sokongan berkaitan dan laporan perubatan terkini bagi membolehkan pengesahan ilat dapat diputuskan semula secara saksama.

Langkah Perlu Bagi Memohon Pencen Ilat

Permohonan untuk mendapatkan Pencen Ilat hendaklah merujuk kepada PERKESO melalui kaunter-kaunter khidmat pelanggan di Pejabat PERKESO yang berhampiran pada hari bekerja dan di beberapa pejabat cawangan terpilih yang membuka perkhidmatan pada hari Sabtu. Selain membawa dokumen pengenalan, pemohon perlu mengisi borang permohonan yang tertentu. Pemohon juga perlu mengemukakan laporan perubatan dari doktor atau pengamal perubatan yang merawat mereka.  

 

Rajah 3: Wisma PERKESO

Kelayakan Umur Pemohon Pencen Ilat

Memenuhi syarat dan belum mencapai umur 60 tahun pada masa notis ilatnya diterima atau keilatan tersebut terjadi sebelum pekerja berumur 60 tahun dan tidak bekerja semenjak ia mengalami keilatan.

Penerima Pencen Ilat Yang Berkelayakan Caruman Penuh

Pekerja hendaklah memenuhi mana-mana syarat kelayakan caruman yang telah ditetapkan dengan kelayakan caruman penuh seperti berikut:

  • caruman bulanannya sekurang-kurangnya 24 bulan dalam tempoh 40 bulan berturut-turut dibayar sebelum bulan notis ilatnya diterima oleh PERKESO; atau
  • caruman bulanannya telah dibayar tidak kurang daripada 2/3 bulan-bulan genap yang terkandung dalam tempoh antara tarikh mula memasuki skim Pencen Ilat dengan tarikh notis ilat diterima oleh PERKESO dan dengan sebab itu pekerja layak menerima pencen penuh dengan kadar 50% ke 65% daripada purata gaji anggapan bulanan.

Penerima Pencen Ilat Yang Berkelayakan Caruman Dikurangkan

Pekerja juga hendaklah memenuhi mana-mana syarat kelayakan caruman yang telah ditetapkan dengan kelayakan caruman yang dikurangkan seperti berikut: Caruman bulanannya telah dibayar tidak kurang daripada 1/3 bulan-bulan genap yang terkandung dalam tempoh antara tarikh mula memasuki skim Pencen Ilat dengan tarikh notis ilat diterima oleh PERKESO dan jumlah bilangan caruman bulanan yang telah dibayar dalam tempoh tersebut mestilah sekurang-kurangnya 24 bulan. Pekerja layak menerima pencen dengan kadar yang dikurangkan iaitu 50% daripada purata gaji anggapan bulanan; dan pencen minima adalah RM 475 sebulan (berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012).

Kuasa Menggantung Pencen Ilat

PERKESO berhak menggantung Pencen Ilatdan merujuk semula kes kepada Jemaah Doktor sekiranya didapati seseorang itu bekerja semula dan memperolehi pendapatan melebihi 1/3 daripada gaji purata sebelum beliau menghidap keilatan.

Sumber Rujukan

  1. Portal MyHealth
  2. Pertubuhan Keselamatan Perkeso, 2013http://www.perkeso.gov.my.

 

Advertisements

Categories: Pekerjaan

Leave a Reply