Keluarga Bahagia

Bagaimana Mencegah Bayi dari Tersedak Susu ?

Bayi tercungap-cungap! Bayi jadi biru! Seorang ibu pasti risau jika bayi menunjukkan tanda-tanda tersebut ketika menyusu. Keadaan ini berlaku apabila bayi tidak dapat menghisap puting dan menelan susu dengan baik. Ini menyebabkan bayi tersedak susu yang diminum. Ia boleh mengakibatkan jangkitan paru-paru atau pneumonia kerana susu yang diminum masuk ke dalam salur pernafasan bayi. Masalah ini berkait rapat dengan perkembangan kemahiran feeding bayi.

Kemahiran feeding bayi

Kemahiran feeding merupakan salah satu kemahiran sensorimotor yang kompleks. Kemahiran ini wujud sejak lahir dan mencapai tahap matang secara berperingkat sehinggalah bayi mencapai umur dua tahun. Perkembangan kemahiran feeding bergantung kepada perkembangan neurologi bayi serta pembelajaran melalui pengalaman.

Bayi yang baru dilahirkan hanya boleh menghisap dan menelan cecair kerana perkembangan kemahiran feeding yang masih terhad. Bayi boleh disusukan dengan baik dan selamat dengan adanya kombinasi tindak balas refleks yang membantu mereka mengesan, menghisap dan menelan susu. Berikut merupakan tindak balas refleks yang penting dalam perkembangan feeding bayi.

  • Refleks rooting –apabila mulut bayi (sisi mulut, bibir atas dan bawah, pipi dan dagu) disentuh menggunakan objek, bayi bertindak balas dengan menoleh ke arah objek tersebut. Refleks ini membantu bayi mengesan kedudukan puting. Refleks ini terdapat pada bayi baru lahir hingga ke usia 4 bulan.

  • Refleks menghisap/ Menelan – Apabila bibir dan mulut bayi disentuh, mulut bayi terbuka dan pergerakan menghisap (suckling dan sucking ) berlaku. Apabila susu sampai di dalam mulut, lidah akan menolak susu ke belakang mulut untuk ditelan. Refleks ini membantu peralihan dari puting payu dara kepada penyusuan botol. Refleks ini terdapat pada bayi baru lahir sehingga usia 4 bulan.

  • Refleks tongue-thrust – Apabila lidah bayi disentuh, lidah akan terkeluar sedikit dari mulut. Refleks ini juga membantu peralihan dari penyusuan payu dara kepada penyusuan botol. Refleks ini terdapat pada bayi berusia 4 hingga 6 bulan.

  • Refleks gag – Bayi akan gag (seakan-akan ingin termuntah) apabila objek seperti sudu, makanan pepejal diletakkan jauh ke dalam mulut. Refleks ini membantu mencegah bayi daripada menelan makanan atau objek yang boleh menyebabkan bayi tercekik atau tersedak. Disebabkan kewujudan reflex ini, bayi hanya diberikan jenis makanan selain cecair selepas mencapai usia 4 hingga 6 bulan. Refleks ini kebiasaannya hilang bila bayi berusia 4 bulan.

Carta di bawah menjelaskan secara ringkas perkembangan kemahiran feeding bayi sehingga berusia 12 bulan

Umur

Refleks dan pergerakan mulut

Kemahiran feeding

0 hingga 5 bulan
  • Refleks menghisap/ menelan
  • Refleks tongue-thrust
  • Refleks rooting
  • Refleks gag
  • Boleh menelan cecair
  • Boleh mengkoordinasi hisap-telan-bernafas semasa menyusu
  • Lidah bergerak ke hadapan dan kebelakang (forward-backward) untuk menghisap
4 hingga 6 bulan
  • Pergerakan mengunyah ke atas dan ke bawah
  • Boleh menggerakkan makanan dari depan lidah ke belakang untuk ditelan
  • Refleks tongue-thrust dan refleks rooting mula hilang
  • Refleks gag menghilang
  • Mengambil makanan berbentuk puri dan menelan tanpa tercekik
  • Mula minum dari cawan
5 hingga 9 bulan
  • Mula boleh mengawal makanan dalam mulut
  • Boleh mengalihkan makanan kebahagian di antara rahang untuk dikunyah
  • Mula makan makanan yang dilumatkan (mashed)
  • Makan dari sudu dengan mudah
  • Minum dari cawan dengan sendiri
  • Mula menyuap makanan sendiri
8 hingga 11 bulan
  • Menggerakan makanan dalam mulut ke sisi kiri dan kanan
  • Mula menggunakan rahang dan lidah untuk menghancurkan makanan
  • Mula mengunyah dalam pergerakan membulat.
  • Mula makan makanan yang dikisar atau dicincang halus dan makanan lembut.
  • Lebih banyak menggunakan tangan untuk menyuap makanan
10 hingga 12 bulan
  • Mengunyah dengan pergerakan membulat yang lebih baik
  • Mula makan makanan yang dicincang, makanan lembut yang dimasak.
  • Menyuap makanan dengan sudu secara sendiri
  • Mula menggigit dan mengunyah makanan pelbagai tekstur.

Setiap bayi seharusnya mengikuti perkembangan feeding normal seperti yang diringkaskan dalam carta di atas. Perkembangan feeding yang baik membolehkan bayi menyusu dan makan dengan selamat. Sekiranya perkembangan feeding bayi tidak bersesuaian dengan tahap umur, bayi berkemungkinan mengalami masalah feeding.

Masalah Feeding

Masalah feeding terjadi apabila bayi sukar untuk menghisap, mengumpul, mengunyah dan menelan susu atau makanan. Antara tanda-tanda bayi mengalami masalah ini adalah:

  • Sering tersedak atau batuk ketika dan/atau sejurus selepas makan dan/atau minum

  • Sukar menyusu atau makan

  • Sukar bernafas ketika menyusu atau makan

  • Air liur atau susu meleleh keluar dari mulut ketika menyusu atau makan

  • Mengambil masa yang lama untuk menghabiskan susu atau makanan

  • Perubahan kualiti suara bayi selepas menyusu atau makan

  • Kekerapan mengeluarkan makanan dari mulut atau muntah

  • Penurunan berat badan atau pertumbuhan yang tidak mencapai tahap normal

Bayi berisiko menghidapi masalah feeding

Terdapat bayi yang berisiko tinggi untuk mengalami masalah feeding. Antaranya adalah bayi dengan masalah seperti di bawah:

  • Keabnormalan pada struktur oral, saluran penelanan dan pernafasan. Contoh: klef bibir lelangit, Pierre Robin Syndrome

  • Kelewatan perkembangan global

  • Masalah neurologi (Palsi Cerebral, Down Syndrome)

  • Masalah tingkahlaku (Memilih makan)

  • Masalah perubatan yang kompleks (Masalah jantung kongenital, paru-paru, ginjal)

  • Masalah saluran gastrointestinal (tracheosophageal fistula, ketidakfungsian injap)

Sering tersedak susu boleh menjadi petanda awal bayi mengalami masalah feeding. Oleh sebab itu, ibubapa perlu peka dan sentiasa memerhatikan tanda-tanda masalah feeding yang mungkin terjadi semasa menyusukan atau memberi bayi makan, terutamanya apabila bayi dikategorikan sebagai bayi yang berisiko tinggi mengalami masalah feeding.

 

 

Sumber rujukan:

  1. Portal Rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia.
Advertisements

Categories: Keluarga Bahagia, Kesihatan, Makanan

Tagged as: ,

Leave a Reply