Keluarga Bahagia

Jika Tidak Menonton TV, Apa Aktiviti Lain Kanak-Kanak?

Orang dewasa sukar untuk menahan senyum apabila melihat gelagat kanak-kanak yang menari, menggoyangkan pinggang sambil melompat-lompat di hadapan televisyen (TV). Tidak kurang juga dengan aksi kanak-kanak yang meniru lagak superhero yang ditonton di TV. Sememangnya dengan rupa yang bersungguh-sungguh tersebut sukar untuk dilupakan oleh ibu bapa.

Realiti kehidupan

Rancangan kartun sememangnya membuatkan kanak-kanak duduk diam di hadapan TV. Ini membolehkan ibu bapa membuat aktiviti lain seperti memasak, mengemas rumah dan sebagainya. Namun, membiarkan kanak-kanak duduk bersendirian di hadapan TV dalam tempoh yang lama bukanlah suatu tindakan yang bijak.

Sumber: SteadyHealth

Rancangan TV Yang Tidak Selamat

Sesetengah rancangan TV tidak selamat dan tidak sesuai untuk kanak-kanak. Contohnya rancangan berunsur ganas, seram dan lucah. Ibu bapa umumnya menyedari hal ini. Namun begitu, masih ramai ibu bapa yang tidak menyedari bahawa terdapat juga rancangan kartun yang memberi kesan negatif terhadap perkembangan pertuturan dan bahasa kanak-kanak.   Antara bentuk rancangan kartun tersebut ialah kartun bisu dan kartun yang mempunyai aksi berlebihan.

  • Kartun bisu

    • Terdapat kartun yang tidak berkata-kata, tetapi memaparkan pelbagai aksi menarik dan lucu. Lalu berjaya mengekalkan minat kanak-kanak untuk menonton. Kanak-kanak yang menonton kartun sebegini tidak berpeluang mempelajari bahasa dan perkataan baru.

  • Aksi berlebihan

    • Selain itu, kartun yang mengandungi banyak aksi dalam satu masa seperti aksi tumbuk, tendang dan tembak yang dipaparkan dengan pantas.  juga memberi kesan negatif kepada perkembangan pertuturan dan bahasa kanak-kanak. Kanak-kanak akan meniru aksi sedemikian tanpa menyebut sebarang perkataan yang bersesuaian seperti ‘serang, tembak atau adoi” kerana seluruh tenaga dan tumpuan diberikan kepada pergerakan tersebut

    Sumber: Medimanage

Beza antara menonton dan berinteraksi

Apabila kanak-kanak menonton TV, mereka hanya perlu melihat dan mendengar. Menonton merupakan aktiviti pasif. Kanak-kanak tidak perlu memberi respon. Ini berbeza apabila kanak-kanak berinteraksi. Ini kerana berinteraksi merupakan aktiviti aktif. Semasa berinteraksi, kanak-kanak bukan sekadar melihat dan mendengar, malah mereka perlu memahami dan memberi komen atau jawapan. Selain itu, mereka juga berpeluang untuk menyoal semula. Menonton TV merupakan komunikasi sehala manakala berinteraksi merupakan komunikasi dua hala.

Kesan buruk menonton TV terlalu lama

Kajian menunjukkan bahawa terdapat kesan negatif akibat menonton TV terlalu lama. Kanak- kanak akan kurang bersosial, kurang bercakap dan kurang daya imaginasi.

  • Kurang kemahiran sosial

    • Kemahiran sosial penting bagi individu untuk berhubung dengan orang lain. Individu yang mempunyai kemahiran sosial yang tinggi dapat menyesuaikan diri dalam pelbagai persekitaran. Untuk memiliki kemahiran sosial yang tinggi, seseorang kanak-kanak itu perlu sentiasa berinteraksi atau bergaul dengan orang lain di sekelilingnya. Sekiranya mereka banyak menghabiskan masa dengan menonton TV, semestinya aktiviti sosial berkurang. Maka mereka akan membesar menjadi individu yang kurang bersosial.

  • Kurang bercakap         

    • Menonton TV merupakan aktiviti pasif. Kanak-kanak tidak berpeluang untuk memberi komen atau menyoal semula. Justeru, kanak-kanak akan berdiam diri. Tiada perkataan atau ayat yang disebut. Secara tidak langsung tempoh menonton yang lama mengurangkan masa untuk kanak-kanak berlatih bercakap.

  • Kurang daya imaginasi

    • Daya imaginasi melatih keupayaan kreativiti kanak-kanak. Apabila kanak-kanak menonton TV terlalu lama, masa yang sepatutnya digunakan untuk aktiviti berbentuk imaginasi telah berkurang Pelbagai aktiviti sedemikian boleh dilakukan, Contohnya mewarna, membina blok,  bermain lego dan bermain olok-olok.

  • Kurang tumpuan

    • Ramai ibu bapa menganggap jika anak boleh memberi tumpuan pada rancangan TV bermakna anak mereka mempunyai tumpuan yang baik. Terdapat kajian yang menunjukkan kaitan antara masalah tumpuan  dan tempoh masa menonton TV. Dengan bertambahnya tempoh masa menonton TV bagi kanak-kanak, maka berkurangan tumpuan mereka terhadap pertuturan. Mereka kurang berminat dan lambat memberi respon kepada pertuturan atau perbualan. Tidak sekadar berhenti di peringkat ini, masalah tumpuan seterusnya dapat dilihat apabila kanak-kanak sudah berumur pra-sekolah atau awal persekolahan. Mereka didapati sukar menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.

Kanak-kanak memerlukan masa dan peluang yang cukup untuk berlatih bercakap. Tempoh menonton TV yang lama mengurangkan peluang mereka berlatih bercakap dan akhirnya melambatkan perkembangan pertuturan bahasa.

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat sesetengah rancangan TV boleh membantu perkembangan bahasa dan pertuturan kanak-kanak. Jadi, ibu bapa perlu bijak memilih rancangan TV yang berbentuk sedemikian.

Selain itu, ibu bapa juga hendaklah bijak mengurus waktu menonton yang sesuai bagi anak dan tempoh menonton TV agar tidak terlalu lama. Dengan cara ini, beberapa kebaikan diperolehi.

  • Kemahiran bercerita

    • Kanak-kanak boleh bercerita kepada ahli keluarga tentang rancangan TV yang ditonton mereka. Mereka boleh memberi komen tentang watak yang terlibat. Selain itu, ibu bapa juga berpeluang memberi komen. Dengan ini. komunikasi dua hala akan berlaku antara kanak-kanak dan ibu bapa, walaupun dengan menonton TV.

  • Menambah perkataan baru

    • Kanak-kanak juga dapat belajar perkataan baru. Ini kerana terdapat rancangan TV yang menayangkan perkara atau objek yang tiada di persekitaran harian kanak-kanak. Sebagai contoh, kanak-kanak dapat mengenali dan menyebut ‘zirafah,singa dan buaya’ walaupun binatang tersebut tiada di sekitarnya.

Jika tidak menonton TV, apa aktiviti lain kanak-kanak?

Terdapat banyak aktiviti yang boleh dibuat oleh kanak-kanak selain menonton TV. Antaranya ialah seperti berikut:

  • Bermain dengan rakan/ adik-beradik/ ibu-bapa/ penjaga

  • Membaca buku

  • Menolong ibu bapa/ penjaga

  • Bermain dengan alat permainan

  • Mewarna atau melukis

Realiti hari ini

Realiti hari ini, hampir setiap rumah mempunyai TV. Maka, ibu bapa berperanan penting mengawal tabiat menonton TV anak-anak. Antara tips nya ialah seperti berikut:

  1. Elakkan bayi dan kanak-kanak berusia bawah 2 tahun menonton TV. Sebaliknya galakkan mereka terlibat dalam aktiviti rangsangan fizikal dan interaksi dua hala.

  2. Perhatikan rancangan TV yang ditonton. Jika terdapat unsur yang tidak sesuai, maka ibu bapa mestilah memberi penjelasan.

  3. Tentukan rancangan TV yang boleh dan tidak boleh ditonton.

  4. Ibu bapa mestilah konsisten dan tegas terhadap peraturan yang telah ditetapkan bersama.

  5. Galakkan anak anda menonton rancangan TV berunsur pendidikan. Ini dapat memberi kesan positif terhadap perkembangan anak, termasuklah perkembangan pertuturan dan bahasa mereka.

Kanak-kanak Malaysia juga tidak terlepas daripada perkembangan globalisasi dunia. Hari ini kita dapat menyaksikan kanak-kanak seawal usia 2 tahun bermain telefon pintar, komputer tablet, dan permainan video. Malah terdapat saluran TV yang dikhaskan untuk bayi. Justeru itu, sebagai ibu bapa/ penjaga yang bertanggungjawab terhadap setiap perkembangan anak, sewajarnya bijak memilih yang terbaik demi masa depan mereka

Advertisements

Leave a Reply