Ilmu Pengetahuan & Komunikasi

Bagaimana Membezakan Antara Keperluan & Kehendak ?

Pengenalan

Berada disatu zaman yang sangat mencabar ini sesungguhnya menguji manusia dari pelbagai sudut. Tahap ekonomi yang seperti telur dihujung tanduk ditambah pula dengan nilai matawang yang berada ditahap paling rendah dalam tempoh 17 tahun menuntut mereka yang kuat sahaja akan mampu meneruskan kehidupan. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, itulah kehidupan masyarakat yang berada dikelas rendah dan sederhana. Namun begitu, disebalik kepahitan ini Allah s.w.t tidak pernah mengabaikan hambanya sebagaimana firman Nya: `Bukankah Dia (Allah) yang menciptakan (makhluk) dari permulaannya, kemudian mengulanginya dan memberikan rezeki kepadamu dari langit dan bumi?’ (Surah An Naml : 64).

Demi memastikan diri dan keluarga terus berjaya mendepani situasi getir ini, menjadi tanggungjawab kita dalam memastikan setiap pendapatan yang diperoleh digunakan secara bijak tanpa pembaziran. Dalam hal ini kita perlu membezakan di antara keperluan dan kehendak. Adakah sesuatu barang yang dibeli itu merupakan satu keperluan atau hanya untuk memenuhi kehendak?

Keperluan

Abraham Maslow yang merupakan seorang tokoh psikologi banyak menyentuh topik berkenaan motivasi telah mencipta satu piramid atau tangga (Hiraki) keperluan manusia. Dalam hiraki keperluan ini terdapat lima fasa dan seseorang itu hanya akan naik ke fasa seterusnya jika keperluan di dalam fasa itu telah dipuaskan. Mengikut piramid keperluan Maslow, keperluan yang paling bawah ialah keperluan fisiologikal seperti makanan, minuman dan pakaian. Tangga kedua ialah keperluan keselamatan seperti keselamatan diri, keluarga dan harta. Keperluan ketiga ialah keperluan berkasih sayang, berkeluarga, kemesraan dan rakan-rakan. Tangga keempat menuntut keperluan untuk berkeyakinan, penghormatan dan kejayaan. Tangga kelima atau tangga terakhir ialah keperluan penghakikian diri dan ini termasuklah soal-soal moral, kreativiti, penerimaan kenyataan, tiada prejudis.

Sumber: Piramid Keperluan Maslow

Keperluan asas manusia perlu ditunaikan untuk terus hidup seperti air, udara, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Keperluan mudah dipuaskan atau dipenuhi kerana setiap manusia mempunyai keperluan yang sama dan terbatas. Manakala kemahuan atau kehendak pula ialah sesuatu perkara yang akan memberi keseronokan dan keselesaan dalam hidup seseorang apabila dipenuhi seperti kenderaan mewah, kolam renang dan sebagainya. Namun demikian, kehendak tidak dapat dipuaskan sepenuhnya kerana manusia mempunyai cita rasa yang berbeza dan berubah-ubah selain daripada mengikut kemampuan.

Manusia diciptakan oleh Allah dan diberi rezeki daripada-Nya jua sebagaimana firman-Nya `Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan membatasi (bagi sesiapa yang Dia kehendaki)’(Surah Ar Ra`d : 26) dan firman dalam surah An Naml ayat 64 `Bukankah Dia (Allah) yang menciptakan (makhluk) dari permulaannya, kemudian mengulanginya dan memberikan rezeki kepadamu dari langit dan bumi?’

 Kehendak

Apa itu kehendak? Secara amnya, kehendak itu ialah sesuatu yang manusia inginkan dan ia selalunya berbentuk indah. Kehendak juga kadangkala mustahil untuk dicapai sekiranya tidak diiringkan dengan usaha dan impian. Perkara ini akan memberi sebuah kepuasan yang bersifat sementara dan bukan kekal. Pasca moden ini, dunia dipengaruhi dan dikelilingi dengan kehendak semata-mata terutama 5F yang boleh dikategorikan sebagai kemewahan iaitu:

  1. Fashion – pakaian berjenama
  2. Film          – hiburan
  3. Food         –  restoran, kafe
  4. Football –  sukan (golf, F1, polo dan sebagainya)
  5. Finance –  kad kredit (hutang)

Kesimpulan

Setakat manakah sebenarnya keperluan asas manusia? Tidak semua orang berkemampuan dan berpendapatan tinggi. Hanya orang yang sanggup membanting tulang empat kerat, rajin, bertenaga dan boleh bekerja kuat sahaja mampu menampung keperluan asas dan kehendak. Keperluan asas yang kita sedia maklum bertujuan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Ia menjadi semakin bertambah dengan perubahan hidup yang semakin rumit sekaligus mencabar fizikal dan mental manusia.

Advertisements

Leave a Reply