Kesihatan

Apakah Ubat – ubatan untuk rawatan hipertensi (Tekanan darah tinggi) ?

Pendahuluan

Hipertensi merupakan faktor utama bagi penyakit berkaitan salur darah yang terdapat pada jantung, otak dan buah pinggang. Merujuk kepada Fakta Kesihatan 2009, 16.09% kematian di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah disebabkan oleh penyakit jantung & peredaran darah, dan 8.43% kematian adalah disebabkan oleh penyakit salur darah pada otak. Selain itu, penyakit yang melibatkan peredaran darah menyebabkan 6.91% kemasukan pesakit untuk rawatan di hospital KKM. Hipertensi boleh menjadi pembunuh senyap sekiranya anda tidak memantau paras tekanan darah anda. Pengesanan awal hipertensi boleh membantu untuk mengelakkan komplikasi yang disebabkan oleh tekanan darah tinggi jangka panjang dalam tubuh badan kita.

Perubahan Gaya Hidup Untuk Menangani Hipertensi

Gaya hidup yang sihat adalah penting untuk mengurangkan risiko hipertensi. Amalan gaya hidup sihat yang disarankan adalah seperti berikut:

  1. Berhenti merokok sekiranya anda adalah perokok kerana merokok boleh menyebabkan komplikasi yang teruk kepada tekanan darah.
  2. Senaman secara berkala untuk mengekalkan berat badan yang sihat.
  3. Penurunan berat badan boleh membantu dalam mengurangkan risiko untuk hipertensi dan penyakit kardiovaskular yang lain.
  4. Kekalkan pemakanan sihat dengan meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran. Elakkan daripada mengambil makanan yang mengandungi kolesterol dan garam yang tinggi.
  5. Pengurusan tekanan yang baik juga adalah penting untuk mengekalkan gaya hidup sihat. Elakkan daripada berasa tertekan kerana ia boleh menyebabkan hipertensi anda tidak terkawal. Carilah cara untuk mengurangkan tekanan. Wujudkan hubungan yang baik dengan ahli keluarga dan berbincanglah dengan mereka sekiranya anda menghadapi masalah kerana ini juga dapat membantu mengurangkan tekanan.

Klasifikasi Untuk Hipertensi

Klasifikasi untuk tekanan darah (orang dewasa ≥ 18 tahun) :

Kategori
Sistolik (mmHg)
Diastolik (mmHg)
Optimum
<120
dan
<80
Diagnosis hipertensi dijalankan berdasarkan purata dua (atau lebih) bacaan yang diambil pada dua (atau lebih) lawatan yang berbeza.
Pra – hipertensif
120-139
dan/atau
80-89
Hipertensif Tahap 1
140-159
dan/atau
90-99
Hipertensif Tahap 2
160-179
dan/atau
100-109
Hipertensif Tahap 3
≥180
dan/atau
≥110

Sumber : Clinical Practice Guidelines Management of Hypertension (3rd Edition)

Semakan tekanan darah secara berkala adalah amalan yang baik untuk mengelakkan komplikasi kesihatan. Tulis dalam buku nota dan rekod tarikh, masa, bacaan tekanan sistolik dan diastolik. Kadar degupan jantung juga boleh direkod untuk mendapat gambaran keseluruhan yang lebih baik berkaitan kesihatan anda. Anda juga boleh mendapatkan alat pengukur tekanan darah untuk memantau tekanan darah secara berkala.

Jenis Ubat-Ubatan Untuk Hipertensi

Terdapat pelbagai ubat yang digunakan untuk mengawal hipertensi, antaranya diuretik, beta-blocker, calcium channel blocker, angiotensin-converting enzyme (ACE) inhibitors dan angiotensin receptor blocker (ARB). Rujuk doktor untuk mendapatkan nasihat dan cadangan rawatan bagi mengawal hipertensi yang dialami. Apabila anda telah mula mengambil ubat hipertensi, sentiasa ambil ubat tersebut mengikut dos dan kekerapan yang telah ditetapkan. Berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sekiranya anda mengalami sebarang kesan sampingan akibat pengambilan ubat-ubatan tersebut.

Kesan Sampingan

Kesan sampingan yang mungkin dialami adalah berbeza mengikut jenis ubat hipertensi yang diambil. Terdapat sesetengah ubat yang boleh menyebabkan kesan sampingan yang ringan seperti sakit kepala, batuk, pening dan keletihan. Dalam kes yang kurang serius sebegini, kesan sampingan yang dialami lazimnya tidak memerlukan sebarang rawatan.

Bagi pesakit yang telah mengambil ubat hipertensi dan mengalami kesan sampingan yang lebih serius seperti sukar untuk tidur (insomnia), kurang dorongan seks, sukar bernafas atau mengalami depresi, berbincanglah dengan doktor untuk mendapatkan nasihat sekiranya masih perlu mengambil ubat tersebut atau bertukar kepada ubat hipertensi yang lebih sesuai.

Sesetengah pesakit yang mengalami kesan sampingan yang serius seperti sakit dada, sukar bernafas atau degupan jantung yang tidak sekata selepas mengambil ubat hipertensi perlu berjumpa doktor dengan segera bagi mendapatkan rawatan.

Maklumkan Kesan Sampingan

Sekiranya anda mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan yang tidak diingini selepas mengambil ubat hipertensi, anda perlu memaklumkan kepada kakitangan kesihatan. Doktor atau ahli farmasi akan mengumpulkan semua maklumat yang diperlukan daripada anda dan melaporkannya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jangan khuatir kerana laporan berkaitan kesan sampingan ini adalah penting bagi KKM dalam memantau kekerapan berlakunya kesan sampingan akibat pengambilan ubat hipertensi.

Sentiasa Berhati-hati

Jangan cuba untuk merawat hipertensi dengan mengambil ubat tanpa arahan atau nasihat daripada doktor. Doktor akan menilai keadaan tekanan darah dengan mengambil kira pelbagai faktor sebelum memulakan sebarang rawatan ubat-ubatan untuk anda. Sentiasa rujuk kepada doktor sebelum mengambil sebarang ubat untuk rawatan hipertensi.

Kesimpulan

Hipertensi boleh menyebabkan pelbagai kesan mudarat dan komplikasi terhadap organ penting dalam badan kita. Pengesanan awal dan pemantauan tekanan darah adalah penting bagi mengelakkan komplikasi lanjut. Pesakit perlu sentiasa merujuk kepada doktor untuk mendapatkan rawatan yang betul bagi hipertensi. Sebarang kesan sampingan yang disebabkan oleh pengambilan ubat-ubatan hipertensi perlu dilaporkan kepada doktor atau ahli farmasi kerana pengumpulan data kesan sampingan atau kesan tidak diingini akibat pengambilan ubat ini adalah amat penting.

Sumber :

Advertisements

Categories: Kesihatan

Tagged as: , ,

Leave a Reply