Kesihatan

Apakah Diet Untuk Pesakit Kanser ?

Tingkatkan Pengambilan Kalori & Protein

Diet Untuk Pesakit Kanser

Rawatan Kanser :

Bagaimana Untuk Meningkatkan Pengambilan Kalori dan Protein ?

Masalah Pemakanan Berkaitan Kesan Daripada Penyakit Kanser dan Rawatannya

Kanser dan rawatannya, iaitu radioterapi dan kemoterapi, boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan yang boleh mempengaruhi pengambilan makanan. Beberapa faktor akan menentukan tahap kesan sampingan seperti :

  1. Jenis kanser yang dihidapi
  2. Bahagian anggota yang terlibat dengan rawatan anti kanser
  3. Dos dan tempoh rawatan anti kanser.

Secara umumnya, rawatan kemoterapi dan radioterapi akan menyebabkan :

  1. Kurang selera makan
  2. Berasa loya
  3. Muntah (kadang-kadang).

Penurunan sel darah putih, sel darah merah dan platlet juga boleh berlaku dan menyebabkan pesakit akan berasa letih.

Khusus bagi rawatan radioterapi, kesan sampingan adalah bergantung kepada bahagian anggota yang diberikan rawatan radioterapi. Sebagai contoh :

  1. Jika radioterapi diberikan pada bahagian mulut atau muka ( facial ), maka rawatan radioterapi tersebut akan menyebabkan radang pada mukosa mulut yang juga dipanggil mucositis di mana pesakit akan berasa sakit dalam mulut.
    >>>   Sakit tekak juga boleh berlaku dan menyebabkan kesakitan semasa menelan makanan.
    >>>   Selain itu, pesakit juga mengalami perubahan deria rasa dan bau.
  2. Jika radioterapi diberikan pada bahagian pelvis, contohnya dalam kanser usus besar, kanser servik atau endometrium, maka pesakit akan mengalami cirit-birit sebagai kesan sampingan daripada radioterapi tersebut.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa semua kesan sampingan yang disebabkan oleh rawatan kemoterapi dan radioterapi adalah suatu keadaan yang sementara sahaja yang berlaku ketika rawatan dan kemungkinan berterusan sehingga 3 bulan selepas rawatan. Ia akan pulih selepas tempoh tersebut.

Kepentingan Pemakanan

Kesan daripada rawatan kanser seperti yang dinyatakan di atas akan mempengaruhi proses :

  • penghadaman
  • penyerapan nutrien
  • kebolehdapatan nutrien yang penting daripada makanan yang diambil oleh pesakit kanser.

Kekurangan nutrien yang penting akan meningkatkan risiko kepada kekurangan zat makanan atau dikenali sebagai malnutrisi.

Cancer Treatment Centers of America melaporkan hampir 65% hingga 70% pesakit kanser mengalami malnutrisi. Kanser berkaitan malnutrisi akan menyebabkan pesakit berasa letih, lemah dan tidak dapat mencapai matlamat rawatan kanser yang diberikan.

Justeru, pengambilan pemakanan yang optimum semasa dan selepas rawatan  kanser adalah sangat penting untuk :

  • meningkatkan respon dan penerimaan pesakit terhadap rawatan yang diberikan
  • meningkatkan sistem pertahanan tubuh dan mengurangkan risiko jangkitan kuman
  • meminimumkan kesan sampingan daripada rawatan anti kanser
  • memberi kekuatan dan tenaga kepada tubuh badan
  • membantu proses pemulihan dan penyembuhan
  • mengekalkan berat badan.

Keperluan Tenaga

Keperluan tenaga bagi pesakit kanser adalah berbeza bagi setiap individu. Ia bergantung kepada :

  • berat badan
  • ketinggian
  • jenis rawatan
  • kesan sampingan rawatan anti kanser yang dialami.

Secara dasarnya, keperluan tenaga bagi pesakit kanser adalah tinggi, di mana ia bertujuan untuk :

  • mencegah kehilangan berat badan
  • meningkatkan kesan rawatan kanser.

Keperluan Protein

Protein adalah salah satu nutrien yang tidak boleh diabaikan bagi pesakit kanser. Protein memainkan peranan dalam membentuk dan mengekalkan :

  • otot
  • tisu
  • sel darah merah
  • hormon
  • memberi kekuatan dalam meningkatkan sistem pertahanan tubuh untuk melawan jangkitan kuman.

Tips Untuk Meningkatkan Pengambilan Kalori dan Protein

1)  Melalui penambahan kalori kepada makanan yang diambil :

  • Tambahkan minyak, mentega atau marjerin ke dalam masakan yang bersesuaian seperti nasi, pasta, kentang, sayur-sayuran dan sup.
  • Sapu mentega, coklat, jem atau madu pada roti atau biskut.
  • Tambahkan aiskrim kepada lempeng, wafel atau buah-buahan.
  • Tambahkan yogurt atau sos salad ke dalam salad buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Tambahkan susu tepung ke dalam masakan seperti sup, lempeng, telur hancur, kentang lenyek dan puding.
  • Tambahkan isi ayam atau telur ke dalam sup, salad dan omelet.
  • Taburkan kacang ke dalam pencuci mulut seperti buah-buahan, aiskrim dan puding.
  • Minum susu suplemen khas  mempunyai kalori dan protein yang tinggi.

2)  Melalui cara dan tabiat pengambilan makanan :

  • Makan pada setiap kali waktu makan utama iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.
  • Makan snek yang sihat seperti jagung rebus, sandwich dan aneka bubur untuk 2 atau 3 kali dalam sehari.
  • Makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap sekiranya tidak dapat menerima makanan yang banyak dalam satu masa. Makan banyak sekaligus mungkin akan menimbulkan rasa loya bagi sesetengah pesakit.
  • Pastikan perut tidak kosong kerana ia akan menimbulkan rasa loya.
  • Elak makanan yang berlemak, pedas serta sangat manis semasa mengalami rasa loya.
  • Makan makanan yang digemari pada bila–bila masa setiap hari. Contohnya ambil makanan sarapan pagi pada waktu malam jika ia lebih diterima dan memberi keselesaan.
  • Ambil kebanyakan minuman atau cecair di antara waktu makan.
  • Minum sedikit demi sedikit jus yang sejuk atau mana-mana minuman yang tidak mengganggu perut.
  • Cuba makanan yang sejuk kerana ia kurang bau serta mudah hadam.
  • Elakkan minum berselang-seli semasa makan kerana ia akan membuatkan anda berasa cepat kenyang.
  • Melakukan sedikit aktiviti fizikal yang ringan mengikut kemampuan untuk meningkatkan selera makan.
  • Cuba memakai pakaian yang longgar sekiranya sedang mengalami rasa loya.

 

Maklumat lanjut sila ke laman web dibawah:

http://www.myhealth.gov.my/pesakit-kanser-tingkatkan-pengambilan-kalori-protein/

 

 

Advertisements

Categories: Kesihatan, Makanan

Tagged as: ,

Leave a Reply