Ibadat

Bagaimana Pengertian Zakat ?

Pengertian Bahasa

Merupakan kata terbitan dari kalimah ( زَكَى ) bermaksud suci dan subur, termasuklah bersih, berkat, berkembang, dan baik kepada harta zakat, pembayar zakat, dan penerima zakat.

 Dari Segi Syarak

Zakat adalah mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu.

 Hukum Zakat

Zakat adalah Fardhu Ain ke atas setiap orang Islam yang memenuhi segala syarat-syarat wajib. Oleh itu, seseorang muslim yang mengingkari kefardhuan zakat boleh mengakibatkan murtad. Manakala individu muslim yang meninggalkan zakat tanpa mengingkari kewajipannya adalah berdosa besar. Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menguruskan kutipan dan agihan zakat.

 Kedudukan Dalam Islam

Zakat adalah salah satu rukun Islam yang lima.

 Hikmah Disyariatkan Zakat

Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang kelima. Antara hikmah dan tujuan ALLAH SWT mensyariatkan zakat ialah:

  • Mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada.
  • Membersihkan diri pembayar zakat.
  • Membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat.
  • Mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT di kalangan golongan yang berada.
  • Mengurangkan perasaan iri hati di kalangan yang kurang bernasib baik.
  • Mewujudkan perhubungan antara hamba dengan ALLAH SWT di samping perhubungan antara manusia dengan manusia.
  • Memberi peluang kepada golongan hartawan untuk beribadat dalam bentuk mengeluarkan zakat daripada harta mereka.
  • Mewujudkan kesatuan di kalangan masyarakat Islam dalam urusan ekonomi dan kewangan.
  • Memberi masyarakat satu cara mengurus ekonomi dan kewangan yang diredhai ALLAH SWT.
  • Melahirkan rasa tenang dan tenteram dalam hati dan jiwa pembayar zakat.

 

 

RUKUN ZAKAT

1

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.” – Surah At-Taubah (ayat 103)

2

“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat”- Surah An-Nur (ayat 56)

3

“Dan (ingatlah wahai Muhammad), Ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan ALLAH, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.” – Surah Al-Baqarah (ayat 83)


Dari ayat-ayat di atas, amat jelas tentang kewajipan berzakat dan sesiapa yang mengingkari atau meragui kefarduannya, maka ianya terkeluar dari agama Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa Khalifah Abu Bakar telah memerangi orang-orang yang mengingkari membayar zakat. Mereka yang kaya dan berada juga harus menyedari bahawa wujudnya hak orang-orang fakir dan miskin di dalam harta yang mereka miliki.

Ada 2 jenis kategori zakat iaitu:

 Zakat Fitrah

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan
syarat-syarat yang ditetapkan.

 Zakat Harta

Jenis-jenis harta yang dikenakan zakat adalah seperti berikut:

    • Zakat Pendapatan
    • Zakat Perniagaan
    • Zakat Binatang Ternakan
    • Zakat Tanaman Padi
    • Zakat Wang Simpanan
    • Zakat Emas dan Perak
    • Zakat Pelaburan
    • Zakat Galian dan Harta Karun
    • Zakat KWSP
    • Zakat Takaful

 

Sumber : http://www.zakatselangor.com.my/info-zakat/


 


 

Advertisements

Categories: Ibadat, Kewangan & Perniagaan

Tagged as: