Advertisements
Kejuruteraan

Bagaimana Sampah Domestik Diuruskan Menggunakan Teknologi Canggih ?

Masalah pembuangan sampah berlaku di mana-mana terutama di rumah pangsa mampu milik serta pangsapuri kos sederhana. Biasanya rumah sampah diletakkan di tingkat bawah sesebuah rumah pangsa.

Penghuni rumah pangsa mampu milik yang biasanya terdiri daripada warga emas serta orang kurang upaya (OKU) selain daripada penghuni biasa mengambil langkah mudah meletakkan plastik berisi sampah di tangga, tepi lif atau koridor pejalan kaki.

Masalah timbul apabila hujan lebat menyebabkan penghuni tidak dapat keluar rumah dan membuang sampah di rumah sampah yang biasanya terletak di tingkat bawah.

Keadaan ini menyebabkan suasana persekitaran yang kotor dan operator pembersihan perlu membuat lebih kerja. Malah keadaan di rumah sampah juga lebih teruk dengan sampah dibuang merata-rata di luar rumah sampah.

Secara tidak langsung keadaan ini memerlukan banyak pekerja bagi membersihkan sampah di sekitar rumah sampah malah lori sampah terbuka yang mengangkut sampah biasanya berbau busuk. Pengurusan sampah yang tidak sistematik juga boleh menyebabkan berlaku banjir.

Bagi mengatasi masalah pembuangan sampah tidak sistematik, sebuah syarikat Bumiputera, Automated Waste System (M) Sdn. Bhd. (AWSM) telah membangunkan satu sistem pembuangan sampah yang bukan saja memudahkan penghuni tetapi pihak pengurusan rumah pangsa berkenaan.
Pengurusnya, Md. Rais Mansor (gambar atas) berkata sistem yang dibangunkan berdasarkan sistem di Finland ini telah diguna pakai di beberapa negara maju tetapi diubah suai untuk kegunaan rumah mampu milik.

Nilai tambah

“Sebelum ini AWSM membekalkan sistem pembuangan sampah dari Finland untuk kegunaan kondominium mewah di negara ini.
“Tetapi melihat kepada masalah pembuangan sampah di rumah pangsa mampu milik, AWSM terpanggil untuk membangunkan sendiri sistem yang lebih ringkas dan mampu milik bagi memberikan nilai tambah kepada pemaju perumahan yang membina rumah mampu milik,” katanya.

Beliau yang mempunyai lapan tahun pengalaman bekerja dalam bidang yang sama di syarikat multinasional berkata, syarikatnya menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama 18 bulan untuk menghasilkan model sistem graviti sampah GWT500.
Sistem ini boleh dipasang sama ada di rumah pangsa yang dalam pembinaan atau telah siap.

“Bagaimanapun pada rumah pangsa yang telah siap, struktur bangunan pula perlu diubah,” katanya.
Menurut Md. Rais, GWT 500 adalah satu sistem pembuangan sampah tertutup, lebih bersih dan tidak berbau dan lebih penting tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai. Sistem yang bermula dengan tingkap sampah di setiap tingkat bersambung dengan dua lagi bahagian yang akan bergerak secara automatik.

“Apabila penghuni membuang sampah di tingkap yang disediakan, daun tingkap yang diperbuat daripada besi tahan karat dan kedap udara akan tertutup. Sampah di ruang pertama akan ditolak ke ruangan ke dua dan kemudian ditolak ke dalam kontena yang disediakan.

Tanpa oksigen

“Di sini semuanya akan berlaku tanpa bekalan oksigen bagi menghalang pembiakan bakteria di dalam tempat pembuangan sampah,” katanya
Apabila kontena sampah penuh, pemandu lori hanya perlu ke rumah sampah, menyambung kontena sampah ke lori dan membawanya ke lokasi pelupusan sampah. Ini boleh dilakukan seorang diri tanpa perlu sebarang kemahiran.

Ditanya mengenai vandalisme yang biasa berlaku seperti pembakaran di dalam saluran sampah, Md. Rais berkata, api tidak boleh membakar dalam keadaan kedap udara tanpa oksigen di tiga bahagian utama.
“Tingkap sampah yang kecil dapat mengelakkan  penghuni membuang perabot di dalam tingkap sampah yang bersaiz kecil.
“Mereka perlu memecahkannya kepada bahagian yang kecil sebelum memasukkannya ke dalam tingkap sampah.
“Model ini sesuai untuk semua jenis sampah domestik,” katanya.

Md Rais berkata, syarikat bukan saja membangunkan sistem pengurusan sampah yang lebih sistematik tetapi sistem aliran pembersihan cadar di hospital dan hotel seperti di luar negara.
Sebelum ini AWSM telah memasang beberapa sistem pembuangan sampah moden dan canggih di beberapa kondominium mewah di seluruh Malaysia.

 

 

Sumber : utusan.com.my

Advertisements

Categories: Kejuruteraan

Tagged as:

Leave a Reply

%d bloggers like this:
Skip to toolbar