Makanan

Bagaimana Cara – Cara Membuat Dodol ?

Dodol ialah sejenis makanan yang berasal dari Indonesia yang boleh dikategorikan dalam kumpulan makanan yang manis (atau manisan/penganan). Dodol sangat terkenal di Melaka dan di Muar, Johor. Membuat dodol boleh dikatakan amat rumit. Ramai orang selalu mencuba untuk membuatnya tetapi tidak semua yang akan menghasilkan dodol yang bermutu tinggi. Biasanya mereka yang mahir membuat dodol ini terdiri daripada mereka yang telah berusia. Jarang sekali generasi muda mahir membuat dodol. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat dodol terdiri daripada santan kelapa, tepung beras, gula pasir, gula melaka dan garam.

Kini, Dodol merupakan suatu makanan manisan yang amat terkenal dan digemari di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, dan Sri Lanka. Manakala di Filipina, khususnya dodol ini terkenal adalah di wilayah Ilocos, Luzon dan di bahagian Lanao, Mindanao serta di India khususnya pada wilayah Goa.

Pada asasnya, manisan dodol ini diperbuat daripada perahan susu dari buah kelapa tua, jageri (gula batu merah yang diperbuat daripada ekstrak tebu atau gula melaka) serta tepung beras ataupun tepung pulut. Semua ramuan ini akan diadunkan melalui kaedah kacauan yang berlangsung berterusan selama lebih kurang 3 hingga 4 jam pada suhu tinggi untuk masakan yang sesuai. Hasilnya, fizikal dan rasa Dodol akan berubah menjadi melekit, pekat dan manis.

Di kebanyakan negara Asean, dodol telah menjadi bahan santapan khususnya pada hari perayaan Hari Raya Aidilfitri and Hari Raya Haji. Terdapat banyak versi dodol yang berlainan sama ada dari segi warnanya yang kebanyakannya berwarna perang gelap, hijau dan kuning ataupun dari segi lain. Rasa dodol juga turut dipelbagaikan, namun versi rasanya yang selalu dinikmati adalah dalam keadaan rasa durian, kelapa dan pisang.

Perkataan “Dodol” ada tercatat dalam kamus tahun 1852 yang berjudul “A grammar and dictionary of the Malay language: with a preliminary.”, Jilid 2 oleh John Crawfurd. Menurut kamus tersebut, perkataan “confectionery” memberi erti “manisan” atau “dodol”.

Berikut adalah resepi yang sangat mudah untuk anda cuba.

BAHAN-BAHAN

  • 2 cawan santan pekat
  • 2 cawan gula merah
  • 1 cawan gula pasir
  • 2 cawan tepung pulut
  • 1 cawan air
  • sedikit garam
  • daun pandan

CARA-CARA

1. MASAK GULA

Pertama sekali, masak gula merah dan gula pasir bersama 1 cawan air.

Kalau nak wangi, masukkan daun pandan sekali. Kacau hingga larut dan tapiskan.

2. BANCUHKAN SANTAN BERSAMA TEPUNG PULUT

Dalam satu bekas lain, bancuhkan santan bersama tepung pulut. Kemudian, tapiskan.

3. CAMPURKAN SEMUA BAHAN

Campurkan kedua-dua bahan campuran (gula dan tepung) ke dalam kuali. Tambahkan sedikit garam untuk menaikkan rasa lemak.

4. KACAU HINGGA MASAK

Seterusnya, masak di atas api dan pastikan ia sentiasa dikacau sampai pekat. Lebih kurang dalam 45 minit.

5. BOLEH DIHIDANGKAN

Kalau dah kenyal, maksudnya ia dah masak. Warnanya juga akan bertukar gelap. Bila siap, bolehlah terus masukkan ke dalam bekas tupperware atau loyang.

Kalau nak mudah dipotong, sejukkan terlebih dulu.

 

Sumber : wikipedia, siraplimau

Advertisements

Categories: Makanan

Tagged as:

Leave a Reply