Tips Melancong

Bagaimana Persediaan Melancong Bersama Anak Kecil ?

 

Bercuti bersama anak kecil boleh menjadi satu cabaran ketika mengembara ke luar negara terutamanya jika ke negara 4 musim. Perbezaan masa dan cuaca merupakan antara cabaran bagi ibubapa yang mempunyai anak kecil.

Pengalaman bercuti bersama anak kecil baru-baru ini menimbulkan minat untuk saya berkongsi. Kami telah menjelajah bumi Inggeris selama 2 minggu dan ini telah memberi pengalaman baru yang menarik buat saya.

Berikut adalah perkara yang saya amalkan agar dapat travel dengan lebih mudah bersama mereka:

1. Waktu tidur dan makan

Waktu tidur dan makan si kecil memainkan peranan yang amat penting ketika mengembara. Biasanya mereka akan tidur mengikut waktu Malaysia dan pengembaraan menjadi kurang seronok sekiranya dihabiskan dengan melayan si kecil yang mengantuk dan lapar.

Gambar pun menjadi tidak menarik jika si kecil hanya tidur dan meragam. Untuk mengelakkan si kecil ‘buat perangai’, ibubapa harus memainkan peranan agar mereka sentiasa berjaga. Bekalan makanan juga harus dibawa bersama sepanjang hari.

Lekakan anak kecil dengan bermain bersama mereka serta libatkan mereka sepanjang perjalanan. Misalnya bercerita dengan mereka mengenai destinasi lawatan.

Agak sukar pada permulaanya tetapi setelah beberapa hari anak-anak akan biasa dengan waktu yang baru. Bila mereka berjaga, perjalanan lancar dan gambar keluarga pun menarik!

2. Kesihatan kulit

Oleh kerana perubahan musim menyebabkan kulit si kecil menjadi kering dan kemerahan. Si kecil akan merasa kurang selesa disebabkan rasa gatal tersebut. Sebagai ibu saya harus sentiasa memastikan agar kulit anak tidak terlalu kering hingga menyebabkan mereka meragam.

Biasanya ruam atau enzema sering menyerang di sekitar betis, bahu, belakang dan pipi si kecil. Walaupun pipi nampak comel kemerahan tetapi ia amat tidak selesa sekali bagi mereka.

Jika terdapat tanda-tanda tersebut, ibubapa harus sapukan dengan krim yang sepatutnya. Suka saya ingatkan bahawa, krim yang selalu dipakai ketika di Malaysia untuk menangani masalah tersebut tidak semestinya sesuai digunakan di Eropah disebabkan faktor cuaca.

Cadangan saya, dapatkan nasihat daripada farmasi berdekatan terlebih dahulu. Jangan mandikan anak dengan kerap ketika berada di luar negara kerana ini akan membuatkan kulit mereka makin kering. Walaupun pipi anak kelihatan merah dan comel tetapi mereka rasa amat tidak selesa.

 

 

3. Rancang perjalanan dan itinerari

Ketika mengembara, ibu bapa merupakan orang yang paling seronok sekali. Namun begitu kegembiraan anak juga tidak harus diabaikan. Sebagai ibu bapa kita harus merancang perjalanan dengan menyediakan itinerari sepanjang tempoh percutian.

Ini bagi mengelakkan anak mudah penat dan meragam dan ini bakal menghilangkan keseronokkan ketika berjalan.

Sentiasa semak ramalan cuaca semasa agar anak tidak kesejukkan oleh hujan atau salji yang lebat. Mulakan perjalanan setelah anak berjaga agar mereka tidak meragam kerana tidak cukup tidur.

Elakkan menggunakan subway atau train bawah tanah ketika di waktu puncak bagi mengurangkan risiko terdedah kepada jangkitan penyakit seperti selsema dan batuk. Dan yang paling penting, pilih destinasi yang mungkin menarik minat mereka, sebab percutian ini melibatkan mereka juga!

4. Pilih pakaian yang sesuai

Pakaian yang sesuai untuk anak kecil bukan hanya setakat menyerlahkan kecomelan mereka tetapi di diwaktu yang sama buat mereka rasa selesa.  Sekiranya destinasi pengembaraan adalah negara yang bermusim, sebagai ibubapa kita harus membuat sedikit kajian mengenai cuaca di destinasi tersebut.

Pakaian negara bermusim banyak dijual di kedai tetapi tidak semuanya sesuai. Informasi musim dan cuaca mengenai destinasi yang dituju sangat penting untuk menjaga kesihatan anak kecil di sepanjang percutian.

Pilihlah warna yang terang agar terserlah lagi kecomelan si kecil di dalam gambar.

5. Penggunaan stroller dan baby carrier

Adalah tidak mudah untuk mendukung anak kecil di sepanjang perjalanan. Biasanya kita sebagai ibu dan ayah pasti akan keletihan kerana mendukung mereka walaupun mereka sudah pandai berjalan.

Penggunaan stroller dan baby carrier sangat membantu ketika bercuti. Namun demikian, penggunaan kedua-duanya harus sesuai dengan destinasi. Sekiranya destinasi percutian melibatkan penggunaan tangga yang banyak dan tiada kemudahan lift maka baby carrier  sangat membantu.

Perjalanan akan menjadi mudah jika perjalanan telah dirancang dari awal berserta dengan itinerari dan kajian mengenai fasiliti di destinasi kita bakal bercuti. Bila si kecil gembira, percutian menjadi memori terindah buat keluarga.

 

 

 

Sumber : The Vocket

 

Advertisements

Categories: Tips Melancong

Leave a Reply