Ibadat

Bagaimana Adab Makan Secara Berjemaah ( Makan dalam Talam ) ?

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalam telah menunjukkan adab makan yang  boleh diikuti dan diteladani kerana kita diwajibkan menjaga kesihatan tubuh badan agar sentiasa sihat sebab ia adalah amanah daripada ALLAH SWT…

 

Mulakan Dengan Membaca Bismillah

Dari ‘Aisyah r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah ( ‘Bismillah’ ). Jika dia terlupa menyebut nama Allah pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ ” (HR Abu Dawud dan atTirmidzi.)

.

 

.

Makan Dan Minum Perlulah Dalam Keadaan Duduk Tidak Berdiri,

Makan dan minum perlulah dalam keadaan duduk tidak berdiri, baik sekali makan keadaan duduk dengan menegakkan sebelah lutut sambil menekan perut. Hikmahnya dapat mengawal kuantiti makanan disamping mengatasi kembung, sembelit dan senak perut,

 

 

 

Makan Berjamaah

Sunat makan secara berjamaah kerana banyak keberkatan yang terkandung didalamnya.  “Berjamaahlah dalam menyantap hidanganmu dan sebut nama Allah padanya, nescaya akan mengandungi berkat bagimu.” (Hadits Shahih).

Berkenaan dengan seseorang yang datang kepada Rasulullah SAW dan ia berkata: “Wahai Rasulullah, kami ini setiap kali makan tidak pernah kenyang.” Maka Rasulullah berkata: “Pasti masing-masing kamu makan sendiri-sendiri.” Orang itu menjawab: “Benar, Ya Rasulullah!” Rasulullah berkata: “Berjamaahlah dalam menyantap makananmu.”

Gunakan Shahfah/Qash’ah

Makan berjamaah di atas hamparan dengan dengan menggunakan Shahfah/Qash’ah (talam/dulang) merupakan salah satu sunnah Nabi yang harus diikuti, tidaklah makan diatas meja makan dan tidak pula menggunakan Sukurrajah.

Ibnu Hajar berkata: “Sukurrajah itu tidak digunakan kerana mereka (Rasulullah dan para sahabat) tidak pernah menggunakannya, kebiasaannya mereka makan bersama-sama (dengan Shahfah) atau makan dengan menggunakan sukurrajah itu menjadikan mereka tidak merasa kenyang.” (Al-Fath 9/532).

Gunakan Tangan Kanan (Tangan Kiri Dilarang)

Nabi SAW juga mengajar untuk kita makan dan minum menggunakan tangan kanan. Dari Jabir r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Jangan engkau makan dengan (tangan) kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan (tangan) kirinya.” (HR Muslim)

Dari Salamah bin al-Akwa’ r.a., seorang lelaki sedang makan dengan tangan kirinya berhampiran dengan Rasulullah SAW Maka Baginda SAW berkata: “Makanlah dengan tangan kananmu”. Lelaki itu berkata: “Aku tak boleh”. Baginda menjawab, “Engkau tidak boleh!? Tidaklah yang menghalangnya kecuali sifat bongkak!! Kemudian tidak dapat diangkat tangannya ke mulut.”(HR Muslim)

 

Galakan Guna Tiga Jari.

Dari Ka’ab bin Malik r.a., “Aku melihat Rasulullah SAW makan menggunakan tiga jari..(ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah)” (HR Muslim)

 

Menjamah Secubit Garam

Nabi Muhammad SAW juga menyuruh menjamah secubit garam sebelum makan untuk menolak 70 macam penyakit dan ambil secolek lagi dengan jari manis tangan kanan setelah makan.

Mula Makan Dari Tepi (Pinggir)

Dari Ibn Abbas r.a., Nabi SAW bersabda: “Keberkatan terdapat di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah” (HR Abu Dawud dan Tirmidzi)

Makan Yang Berhampiran.

Makanlah makanan yang ada dihadapan anda dan jangan menjangkau makanan yang ada pada hidangan yang lain.

Dari Umar bin Abi Salamah r.a. berkata, aku merupakan hamba di rumah Rasulullah SAW, dan pernah tanganku menjalar-jalar ke serata hidangan (ketika hendak makan). Maka Rasulullah SAW berkata: “Wahai budak, ucapkan ‘Bismillah’, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang hampir denganmu.” (HR Bukhari dan Muslim)

Makanlah Dengan Rendah Diri

Makanlah dengan penuh perasaan tawadduk dan jangan makan dengan gaya yang bangga, sombong dan angkuh.

Makanlah Dengan Berpada-Pada

Jika makanan yanga ada itu sedikit sedang tetamunya terlalu ramai maka janganlah makan sampai terlalu kenyang. Nabi Muhamad SAW melarang makan dengan banyak dan melampau.

Diriwayatkan bahwa para sahabat berkata dari Rasulullah SAW:

نحن قوم لا نأكل حتى نجوع وإذا أكلنا لا نشبع

“Kita (kaum muslimin) adalah kaum yang hanya makan bila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang.“

Galakan Bercakap

Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam kitab al-Ihya mengatakan bahawa termasuk etika makan ialah membicarakan hal-hal yang baik sambil makan, membicarakan kisah orang-orang yang shalih dalam makanan.

Menurut al-Hafidz dan Syaikhul Islam Ibn al-Qayyim rh, pendapat yang benar ialah Nabi SAW bercakap dan berbual semasa makan. Dalam kitabnya alZaad, “Ada kalanya Nabi SAW bertanya apakah menu pada hari ini dan memuji menu tersebut.” (HR Muslim). “Dan ada kala Nabi SAW mengajar adab dan susila makan kepada kaum keluarganya, ada ketika Nabi SAW sentiasa menggalakkan tetamu beliau supaya menambah laukpauk dan minuman.” (HR al-Bukhari).

Ketika makan janganlah terlalu banyak bercakap atau bercakap apabila makanan penuh di dalam mulut. Janganlah juga bercakap mengenai hal-hal yang boleh menimbulkan rasa jijik atau loya.

Larangan Mencela Makanan

Dari Abu Hurairah r.a. berkata: “Tidak sekali-kali Rasulullah SAW mencela makanan. Jika Baginda menyukainya, maka Baginda makan. Jika Baginda tidak menggemarinya, maka Baginda tidak makan” (HR Bukhari dan Muslim)

Tidak Bersandar Ketika Makan

Dari Abi Juhaifah Wahb bin Abdullah r.a. berkata: Rasullah SAW bersabda, “Aku tidak makan sambil bersandar” (HR Bukhari)

Kutip Makanan Yang Terjatuh.

Jika ada butiran makanan yang terjatuh maka kutiplah ia semula. Jangan disisakan sebutir nasi / makanan pun yang masih elok, kerana makanan adalah nikmat Allah yang patut dimuliakan dan ia juga turut berzikir pada Allah SWT.

Dari Jabir r.a., Sabda Rasulullah SAW., “Apabila jatuh sebahagian (kecil) makanan seorang dari kamu, ambil dan buang bahagian yang terkena kotoran dan makanlah ia, dan jangan tinggalkan ia untuk syaitan, dan jangan dia menyapu tangannya dengan kain sehingga dia menjilat jarinya dahulu kerana dia tidak mengetahui pada makanannya, bahagian mana yang terdapat keberakartan” (HR Muslim)

.

Jilat Jari Setelah Selesai

Setelah selesai makan maka licinkanlah pinggan anda dan jangan biarkannya dengan sisa-sisa makanan setelah itu jilatlah sisa makanan yang masih melekat pada jari-jari. Saintis menemui enzim(bahan percerna makanan yang menghadamkan makanan) banyak terkandung di celah jari-jari, iaitu 10 kali ganda terdapat dalam air liur.

Dari Ibn Abbas r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang daripada kamu telah selesai makan makanan, maka jangan disapu jari-jari sehingga dijilat (terlebih dahulu) atau dijilatkan (oleh orang lain)” (HR Bukhari dan Muslim)

“Dan janganlah ia mengelap tangannya dengan mindil/tuala hendaklah ia menjilati tangannya, kerana seseorang itu tidak mengetahui pada makanannya yang mana yang mengandungi berkat untuknya, sesungguhnya syaitan itu selalu mengintai untuk merampas harta manusia dari segala penjuru sehingga di tempat makannya. Dan janganlah ia mengangkat shahfahnya hingga menjilatinya dengan tangan, kerana sesungguhnya pada akhir makanan itu mengandung berkat.” (Kitab Silsilah hadits-hadits shahih).

Berkata Imam Nawawi, tentang makna kalimat “Pada makanannya yang mana yang diberkahi.” Ia berkata: Sesungguhnya makanan yang dihidangkan untuk manusia itu mengandung berkat, sedang dia tidak mengetahui apakah berkat itu pada makanan yang ia makan atau pada sisa makanan yang melekat di tangannya atau pada sisa makanan di dalam shahfah atau pada suapan yang jatuh. Demikian hendaklah ia menjaga semua itu agar selalu mendapat berkat.”(Fathul Bari 9/578).

Doa Setelah Selesai Makan

Setelah majlis makan itu selesai maka ucapkanlah ‘alhamdulillah’ kepada tuhan yang telah memurahkan rezekinya kepada kita

Dari Abi Umamah r.a., “Adalah Rasulullah SAW. apabila selesai makan menyebut, ‘Alhamdulillahi katsiran toyyiban mubarakan fih, ghaira makfiyyin wa la muwaddi’in’. wa la mustaghnan ‘anhu rabbana’ ” (HR Bukhari)

Dari Muad bin Anas r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang selesai makan, kemudian menyebut, ‘Alhamdulillah- illazi ath’amani haaza, wa razaqanihi min ghairi haulin minni wa la quwwatin’, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Tirmidzi)

 

Advertisements

Categories: Ibadat, Makanan

Tagged as:

Leave a Reply